Jadilah mukmin sejati

Jadilah mukmin sejati

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T merupakan kewajipan setiap umat Islam untuk menjadi mukmin sejati yang kuat dan teguh imannya.

Mereka ini mengakui beriman bukan sahaja dengan hati dan lisan, bahkan melaksanakan segala perintah Allah S.W.T serta menjauhi larangan dan tegahanNya, berlainan sekali dengan orang mukmin yang lemah imannya, sekadar beriman kepada Allah S.W.T dengan hati, mengakui dengan lisan dengan ucapan dua kalimah syahadah, namun cara hidup dan tingkah laku mereka bercanggah dengan akhlak dan syariat Islam.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai sifat mukmin sejati dan mukmin lemah imannya, menambah mukmin sejati perlu mempunyai lima sifat antaranya ialah sentiasa mengingati Allah S.W.T (zikrullah), yang apabila mendengar nama Allah S.W.T, maka gementarlah hati mereka kerana diliputi perasaan takut.

Ini kerana perasaan takut dapat mencegah mereka daripada melakukan perbuatan jahat (mungkar) dan mendorong mereka melaksanakan perkara-perkara suruhan.

“Orang yang hatinya sentiasa ingat kepada Allah S.W.T tidak akan melupakan Tuhannya di waktu senang mahupun di waktu susah kerana Allah S.W.T memberi jaminan telah memberikan bimbingan dan perlindungan kepada mereka.”

Sifat kedua pula ialah mendirikan sembahyang yang merupakan benteng dan perisai yang amat kuat dan kukuh bagi seorang mukmin bagi mencegah melakukan perbuatan keji dan mungkar. Menurut Khatib lagi, ciri ketiga mukmin sejati ialah mereka yang bertambah kuat imannya apabila mendengar dan memahami ayat-ayat suci Al-Quran yang mengandungi hikmah, peringatan dan berita-berita yang menggembirakan, pengajaran sebenar serta menjanjikan ganjaran dan sebagainya.

Manakala ciri keempat ialah tawakal kepada Allah S.W.T yang bermaksud berserah diri secara mutlak kepada Allah S.W.T setelah segala usaha dan ikhtiar dijalankan dalam menghadapi sesuatu perkara atau keadaan. “Jadikan sifat ini sebagai prinsip dalam kehidupan seharian kerana ia menanamkan semangat keteguhan hati, ketenangan, keberanian dan sebagainya,” kata Khatib.

Ciri kelima orang mukmin sejati ialah membelanjakan sebahagian daripada rezekinya (hartanya) ke jalan Allah S.W.T. Mereka yang mempunyai rezeki hendaklah membelanjakan sebahagian daripada rezeki itu ke arah amal kebajikan, menolong orang susah, orang yang kurang bernasib baik dan membelanjakannya ke jalan yang diredai Allah S.W.T

Di antara amalan yang dapat dilakukan untuk menjadi mukmin sejati ialah dengan membaca dan taddabur isi kandungan Al-Quran dan mengenal asmaul husna dan sifat-sifat Allah S.W.T serta meningkatkan iman dengan memperhatikan sirah atau perjalanan hidup Rasulullah S.A.W.

Jika amalan itu dilaksanakan dalam kehidupan, Insya Allah bertambahlah keimanan dan dapat menghindari hal-hal yang melemahkan iman seperti kejahilan terhadap syariat Islam, lupa dan berpaling daripada ketaatan serta melakukan dosa-dosa besar, jelas khatib.