Jadilah Muslim sejati

Jadilah Muslim sejati

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Golongan belia kini menghadapi cabaran globalisasi sengit yang menghidangkan berbagai-bagai budaya dan persekitaran sosial yang cepat berubah dan jika tidak mempunyai pegangan dan keyakinan diri maka akan berdepan akibat luar jangkaan.

Akibat luar jangkaan ini mungkin sahaja berkaitan dengan akidah atau aliran kefahaman beragama apa tah lagi ketika ini berlaku banyak pemusingan atau salah tafsir terhadap Islam yang mana belia adalah sasaran tamadun.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perkara itu pada Majlis Penganugerahan Hadiah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara 1436H/2015M yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam ini.

Bagi menangani pemesongan ini, belia hendaklah mempunyai kesedaran diri, menjadikan diri mereka benar-benar Muslim sejati di mana sahaja mereka berada, agar identiti dan pendirian Islam terimbas dalam diri mereka.

“Jika pendirian itu sering terumbang-ambing atau mudah terikut-ikut, maka itu tandanya peribadi belumlah kukuh. Peribadi yang kukuh adalah milik Muslim sejati,” titah Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah kepada johan qari Mohamad Husaini Mahnur dari Malaysia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah kepada johan qari Mohamad Husaini Mahnur dari Malaysia.

Baginda seterusnya menyeru agar belia melengkapkan diri dengan ilmu, khasnya ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran dan Al-Hadis kerana pada kedua-dua ilmu inilah ditentukan status kita umat Nabi Muhammad SAW.

“Sebagaimana maksud hadis yang berbunyi, sebaik-baik kamu ialah siapa yang mempelajari Al-Quran dan Al-Hadis. Dengan adanya ilmu ini di dada setiap belia kita, Insya Allah rantau ini memperoleh kekuatan dan keselamatan,” titah Baginda lagi.

Menyentuh mengenai pertemuan belia-belia ASEAN dalam musabaqah kali ini, Baginda Sultan bertitah ia bertepatan dengan tahun pembentukan Komuniti ASEAN pada penghujung tahun 2015 ini.

Golongan belia ASEAN tidak syak lagi berperanan penting dalam pengisian, kelangsungan paska Komuniti ASEAN yang turut menyumbang ke arah memperkukuhkan lagi perpaduan ummah dan keamanan serantau, titah Baginda.

Baginda turut menekankan, belia adalah penggerak dan pemangkin serba mampu untuk melakukan apa jua yang terbaik bagi bangsanya kerana itu kelebihan yang perlu dibuktikan oleh para belia.

Ini kerana mereka mampu membawa impak besar kepada pembangunan masyarakat ASEAN meliputi semua bidang seperti pendidikan, ekonomi, kemahiran, penguasaan, teknologi dan kerohanian.

Baginda Sultan turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pemenang Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Asia Tenggara bagi tahun ini dan kepada semua peserta lain yang telah menunjukkan semangat perpaduan ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA