Jadilah umat terbaik

Jadilah umat terbaik

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu pengetahuan kerana tanpa ilmu, kehidupan akan berada dalam kejahilan dan kemunduran bahkan ketinggian ilmu pengetahuan juga merupakan ukuran yang sangat penting dalam membezakan antara kemajuan dan kemunduran sesuatu bangsa dan negara.

Kerajaan negara ini sangat menyanjung tinggi akan kepentingan ilmu pengetahuan di mana pada setiap tahun sejak 12 tahun lalu, Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Ilmu bersempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Majlis ilmu ini sangat bermakna dari sudut semangat dan tujuan untuk memenuhi tuntutan agama supaya mengadakan permuzakarahan dan perbincangan dalam bidang-bidang keilmuan.

Perkara ini dijelaskan oleh Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini dan seterusnya menambah, ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab para ilmuwan bagi menghidupkan ilmu dan menyalurkannya kepada umum

Menurut Khatib, ilmu itu sangat penting dalam kehidupan, apa pun yang dilakukan mestilah berpandukan ilmu pengetahuan.

Ini sebagai contoh dalam tafsiran ayat-ayat Al-Quran dan Hadis, jelas Khatib, ia tidak boleh dibuat dengan sesuka hati tetapi patut diserahkan kepada mereka yang layak dan berhak melakukannya iaitu yang terdiri daripada kalangan para ulama muktabar dan ahli tafsir.

“Ilmu sangat penting dalam apa juga perkara yang dilakukan, lebih-lebih lagi dalam mentafsir ayat-ayat Al-Quran dan Hadis,” katanya. .

Tema Majlis Ilmu tahun ini ialah Wasatiah Asas Kesejahteraan Sejagat di mana pakar bahasa dan pakar ilmu tafsir mendefinisikan wasata, asal perkataan Wasatiah sebagai adil, terpilih, terbaik, terutama, termulia dan tertinggi.

Ini bermakna agama Islam bukan setakat baik tapi terbaik, bukan setakat unggul tetapi terunggul dan jika agama Islam sudah begitu, tentu saja umatnya juga mesti begitu.

Khatib turut melahirkan kekecewaan apabila ada orang mentafsir dengan tafsiran lain, lain dari tafsiran pakar bahasa dan pakar ilmu tafsir.

Menurut khatib lagi, mereka mentafsir Wasata dengan tafsiran sederhana ertinya umat Islam ini adalah umat sederhana dan agama Islam juga agama sederhana.

“Kemudian paling mengecewakan lagi, apabila sederhana itu dihurai sebagai tidak melampau, tidak banyak, tolak ansur, banyak mengalahnya, banyak bersedia untuk melayan semua kemahuan dan kehendak,” tambahnya.

Walaupun apa yang dimahui, itu menyalahi akidah atau menjejaskan maruah atas nama agama Islam sederhana dan umat Islam, umat sederhana, kita melihat tafsiran ini sebagai tidak ada kena mengena dengan Islam.

Islam Wasatiah bukan Islam sederhana, Islam Wasatiah adalah Islam tertinggi dan Islam terhebat malah Islam Wasatiah menuntut supaya umatnya lebih kuat dan lebih hebat.

Tidak dinafikan sifat sederhana sangat dihargai dan digalakkan oleh Islam tetapi bukan Islamnya yang sederhana atau adapun sederhana yang dituntut oleh Islam ialah seperti sederhana dalam berbelanja atau perkara makan minum dan seumpamanya.

Islam sebenarnya bukan sederhana tetapi ia menuntut supaya segala-galanya mesti terbaik sebagai contoh, kalau bekerja mesti bekerja bersungguh-sungguh, kalau beribadat-beribadatlah bersungguh-sungguh bukan dengan bersederhana saja.

“Bukankah Nabi Muhammad S.A.W pernah memberi gambaran, bahawa dalam ibadat Baginda pernah sembahyang hingga pecah-pecah kaki bahkan jika meminta kepada Allah, kita disuruh untuk meminta yang terbaik contohnya jika meminta syurga mestilah syurga Firdaus,” kata Khatib lagi.

Istilah sederhana yang disandarkan dalam Islam, mampu untuk meracuni kemurnian Islam kerana dengan istilah ini, kita sebenarnya telah membuka ruang untuk membolehkan orang melakukan tawar menawar atas nama sederhana.

ARTIKEL YANG SAMA