Jadual penerbangan terjejas

Jadual penerbangan terjejas

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Beberapa penerbangan menggunakan pesawat Boeing 787-8 Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), akan mengalami gangguan teruk dalam tempoh beberapa hari ini, dengan laman sesawang RB memaklumkan beberapa pembatalan dan penangguhan.

Gangguan ini disebabkan proses pemeriksaan terperinci ke atas semua enjin Rolls Royce Trent 1000 pada tiga lagi pesawat Boeing 787-8 yang dikendalikan RB susulan insiden teknikal pesawat RB yang terpaksa berpatah balik ke Manila pada 21 Oktober lalu.

RB dalam satu kenyataannya hari ini berkata, keputusan untuk menjalankan pemeriksaan ini dibuat demi keselamatan penumpang dan selepas membuat perundingan dengan Jabatan Penerbangan Awam mengenai keselamatan penerbangan dan aspek-aspek teknikal berikutan kejadian enjin terhenti dalam penerbangan pada 21 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, penerbangan BI 684 menggunakan pesawat Boeing 787-8 dan dikuasakan enjin Rolls Royce Trent 1000, yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), Manila ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (BWN), terpaksa berpatah balik.

Menurut kenyataan itu, salah satu enjin pada pesawat berkenaan terhenti semasa penerbangan, sejurus berlepas dan berdasarkan prosedur operasi standard, kapten kapal terbang berkenaan memutuskan untuk berpatah balik ke NAIA.

Pesawat berkenaan mendarat dengan selamat tanpa sebarang kejadian dan semua 152 penumpangnya keluar ke terminal dengan selamat.

Sejak kejadian itu, Rolls Royce telah menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas kedua-dua enjin pesawat berkenaan sebagai sebahagian daripada persediaan untuk menggantikan enjin yang terjejas dengan enjin ganti yang telah dihantar ke NAIA dari BWN.

Bagaimanapun, RB telah menerima maklumat daripada Roll Royce bahawa enjin kedua pada pesawat tersebut juga mengalami kerosakan yang serupa.

Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan teliti telah mendedahkan kerosakan ke atas beberapa bilah kipas pada kedua-dua enjin, bagaimanapun puncanya belum diketahui.

RB menambah, setakat ini, tiada bukti bahawa faktor luaran seperti pelanggaran burung menyebabkan kerosakan berkenaan, dan usaha untuk menentukan punca kerosakan sedang dijalankan oleh Rolls Royce dengan sokongan penuh pasukan kejuruteraan RB.

Sementara itu, laman sesawang RB, hari ini, telah memaklumkan pembatalan dan penangguhan beberapa penerbangan bermula kelmarin (27 Oktober) hingga 1 November.

Penerbangan yang dibatalkan hari ini (28 Oktober) ialah dua penerbangan BI098 dari Dubai ke Bandar Seri Begawan, London ke Dubai dan BSB, serta satu BI053 dari Bandar Seri Begawan (BSB) ke Melbourne.

Penerbangan lain yang dibatalkan termasuk penerbangan BI054 dari Melbourne ke BSB dan BI097 dari BSB ke Dubai dan London esok (29 Oktober); penerbangan BI097 dari Dubai ke London dan BI098 dari London ke Dubai dan BSB (30 Oktober); BI098 dari Dubai ke BSB dan BI053 dari BSB ke Melbourne (31 Oktober); dan penerbangan BI054 dari Melbourne ke BSB pada 1 November.

Sementara itu, penerbangan yang mengalami penangguhan termasuk BI097 dari BSB ke Dubai dan Dubai ke London, hari ini, manakala itu, penerbangan BI098 dari Dubai ke London, esok, dijangka ditangguhkan selama enam jam.

Sehubungan dengan ini, Timbalan Pengerusi RB, Dermot Mannion, dalam kenyataan berkenaan, memohon maaf kepada penumpang setia mereka atas gangguan kepada rancangan perjalanan mereka.

“Bagaimanapun, kami tahu penumpang akan dapat menerima alasan keselamatan untuk mengambil keputusan sukar ini. Tidak perlu risau kerana RB sedang bekerjasama dengan Rolls Royce dan Boeing, pada peringkat paling tinggi, untuk memulihkan operasi kami secepat mungkin,” ujarnya.

Buat sementara itu, para penumpang patut memeriksa laman sesawang www.flyroyalbrunei.com bagi sebarang kemas kini mengenai gangguan penerbangan dan menghubungi Pusat Panggilan Pelanggan di talian 2212222.

ARTIKEL YANG SAMA