Jaga adab ziarah kubur

Jaga adab ziarah kubur

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Amalan menziarahi kubur merupakan amalan lazim yang dilakukan oleh umat Islam di negara ini dan semakin giat dilakukan pada bulan Ramadan dan pagi Hari Raya Aidilfitri, namun amalan itu tidak semestinya hanya dilakukan ketika itu malahan digalakkan menziarahi kubur bila-bila masa.

Ini kerana amalan menziarahi kubur itu mempunyai tujuan dan hikmah tersendiri, antaranya menimbulkan perasaan insaf dan taubat dalam hati mengenai hari kematian, alam kubur dan alam akhirat, menurut khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini.

Selain itu, ziarah kubur juga bertujuan untuk menggembirakan penghuni kubur terutama roh kedua-dua ibu bapa iaitu dengan memberi salam, memohon doa supaya dilimpahi rahmat dan pengampunan daripada Allah S.W.T.

“Doa anak yang soleh dan sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia akan diterima Allah S.W.T serta ditulis oleh Allah S.W.T sebagai anak yang taat kepada ibu bapanya,” tambahnya khatib.

Perlu diingat apabila menziarahi tanah perkuburan, tegas khatib, jangan lupa panduan atau adab-adab ziarah yang patut diikuti.

Ini antaranya sebelum menziarahi kubur disunatkan berwuduk serta memakai pakaian yang bersesuaian dan menutup aurat dan apabila sampai di tanah perkuburan, disunatkan memberi salam kepada semua ahli atau penghuni kubur.

Khatib seterusnya menjelaskan, juga disunatkan duduk menghadap ke arah muka arwah dan membaca ayat suci Al-Quran serta menghadiahkan pahalanya kepada ahli kubur.

Selain itu juga disunatkan menghadap kiblat semoga Allah mengampuni dosa dan melimpahi rahmat kepada roh ahli kubur.

“Turut disunatkan menjirus air dengan meletakan pelepah yang masih hijau serta tumbuh-tumbuhan wangi yang masih basah di atas kubur,” tambahnya.

Seperti lazimnya, di negara ini, amalan bersedekah dilakukan selepas ziarah kubur di mana amalan ini adalah amalan yang terbaik dan terpuji kerana bersedekah adalah sunnah Rasulullah S.A.W dan diniatkan kepada ahli kubur agar pahalanya sampai kepada penghuni kubur tersebut.

“Walau bagaimana pun jangan dijadikan bersedekah di kubur itu satu kewajipan atau kemestian,” tegasnya.

Sehubungan itu, khatib menyeru supaya sama-sama menjaga adab menziarahi kubur dan meninggalkan perkara yang dilarang apa lagi yang merosakkan akidah, keimanan dan semoga kesan daripada amalan tersebut dapat memberi keinsafan dan kesedaran dengan sentiasa mengingati mati dan segera bertaubat kepada Allah S.W.T.

Selain berharap, penghuni kubur akan mendapat rahmat daripada Allah dan mendapat keampunan dan terhindar daripada seksa kubur dan azab api neraka.

ARTIKEL YANG SAMA