Jaga gigi untuk kebersihan mulut

Jaga gigi untuk kebersihan mulut

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Nov – Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis rawatan dan kepakaran pergigian di Negara Brunei Darussalam, oleh itu mencabut gigi bukan lagi satu-satunya pilihan utama, bagaimanapun sebaik-baiknya perlunya penjagaan dan pemeliharaan gigi asli dengan sempurna bagi mengekalkan kualiti hidup.

Perkara tersebut telah ditekankan oleh Pakar Bersekutu Pergigian (Prostodontik) Dr. Farha Hanina binti Maidi, ketika membuat kesimpulan ceramahnya pada Majlis Ceramah ‘Penjagaan Kesihatan Mulut dalam Kalangan Warga Emas’ yang berlangsung di Pusat Perkembangan dan Pembelajaran Kesihatan, Hospital Suri Seri Begawan (SSB) di sini, hari ini.

Ceramah tersebut merupakan antara atur cara bagi Program Cara Hidup Sihat Warga Emas sebagai susulan aktiviti anjuran Pusat Promosi Kesihatan dan Hospital SSB, Kuala Belait serta Kumpulan Sokongan Promosi Kesihatan Warga Emas ‘PENYULUH’ peringkat Daerah Belait.

Selain menjelaskan tentang demografi warga emas, Dr. Farha Hanina juga menyatakan bahawa anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelang tahun 2050, penduduk dunia yang berusia 60 tahun ke atas akan mencapai lebih daripada dua bilion, sementara itu Banci Penduduk dan Perumahan 2011 Negara Brunei Darussalam pula mencatatkan penduduk yang berusia 60 tahun ke atas berjumlah 5.7 peratus.

Menurutnya lagi, angka penduduk warga emas di negara ini dijangka akan bertambah lebih dua kali ganda dalam masa 15 hingga 20 tahun lagi dengan jangka hayat lelaki sehingga 78 tahun manakala wanita pula sehingga 79 tahun.

Pameran berkaitan penjagaan gigi palsu dengan betul juga dipamerkan pada acara tersebut.
Pameran berkaitan penjagaan gigi palsu dengan betul juga dipamerkan pada acara tersebut.

Beberapa perkara berkaitan mulut, termasuk masalah-masalah yang dihadapi, perubahan pada gigi dan struktur lain dalam mulut, mengenali tanda-tanda penyakit, penggunaan gigi palsu dan penjagaannya, serta kepentingan penjagaan kesihatan mulut, pencegahan dan jenis rawatan turut disentuh dalam ceramahnya pada majlis yang dihadiri oleh kalangan warga emas dan ahli-ahli Kumpulan Sokongan PENYULUH Hospital SSB.

Hadir sama ialah Pengerusi Kumpulan Sokongan PENYULUH, Hajah Kertini binti OKPSD Abang Haji Abu Hanifah, serta beberapa ahli lainnya termasuk Terry Thoo dan Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Haji Taib.

Mengatasi masalah berkaitan dengan gigi palsu, juga telah menjadi topik penting, di mana para hadirin diajar cara merawatnya dengan betul seperti jika masalah longgar hendaklah ditambahkan bahan supaya lebih rapi muatnya, atau menggunakan ubat pelekat gigi palsu.

Jika tidak selesa, warga emas disarankan menghalusi bahagian-bahagian yang tajam, kasar dan tebal, seterusnya mereka diajar bagaimana membersihkan dengan betul secara merendam semalaman dalam air, lalu dibersihkan dengan sabun cecair menggunakan berus lembut.

Program Cara Hidup Sihat Warga Emas berkenaan juga telah diselitkan dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan dan pemeriksaan pergigian yang dikendalikan oleh warga Bahagian Makmal Pergigian Hospital SSB bagi warga emas yang hadir, serta pameran mengenai penjagaan gigi dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA