Jaga integriti polis

Jaga integriti polis

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Anggota Polis Diraja Brunei diseru untuk mempertingkatkan sifat-sifat serta nilai-nilai utama sebagai anggota yang bertakwa, berkualiti, unggul dan berintegriti seperti yang diamanahkan dan diharapkan oleh masyarakat kepada Pasukan Polis Diraja Brunei sebagai fungsi utama dalam menjaga keamanan negara.

Sifat-sifat itu adalah amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab, tegas, adil, cekap, rajin, bijaksana serta mempunyai nilai kesetiaan dan rasa sayang kepada pasukan dan negara tekan Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan, S/Supt Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Metali ketika berucap di Upacara Perbarisan Tamat Latihan Bagi Rekrut Polis Tambahan Skuad Lelaki 1/2015 yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Gadong, hari ini.

Menurutnya lagi, tugas dan tanggungjawab anggota Polis kini semakin bertambah dan mencabar di mana faktor-faktor luaran dan dalam seperti kemajuan sains dan teknologi, perubahan sosio demografi, harapan orang awam kepada mutu perkhidmatan polis yang kian meningkat, kemunculan jenayah terancang, wajah baru keganasan, banyak memberi kesan kepada tugasan harian anggota Polis.

Superitenden Kanan Pengiran Haji Muhammad ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Superitenden Kanan Pengiran Haji Muhammad ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Antara Rekrut Polis Tambahan Skuad Lelaki 1/2015 yang berjaya menamatkan latihan.
Antara Rekrut Polis Tambahan Skuad Lelaki 1/2015 yang berjaya menamatkan latihan.

“Sedikit kesilapan ataupun kecuaian bukan sahaja akan mendatangkan implikasi buruk kepada anggota itu sendiri tetapi juga akan menjejaskan imej pasukan di mata masyarakat.”

Beliau berkata “Saya bukan bermaksud untuk menakutkan, tetapi realitinya, setiap pekerjaan yang kita akan hadapi tidak tinggal daripada kesulitan mahupun cabaran ini, tetapi apa yang lebih penting kita mesti membuat persediaan awal, melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan tugas bagi mencapai matlamat seperti yang diharapkan.”

Beliau menambah bahawa setiap daripada mereka mempunyai peranan yang perlu dilaksanakan bagi memberikan perkhidmatan yang cekap, berkesan dan berkualiti tinggi.

Dalam hubungan itu, beliau menyarankan supaya dalam apa jua bidang yang diceburi, tugas yang diamanahkan harus digalas dengan penuh tanggungjawab, jujur, cekap dan berintegriti.

“Kita harus berusaha untuk mencapai kejayaan dan muncul sebagai pasukan yang terbaik, nescaya masyarakat akan puas dan menghormati kita”.

“Sebagai anggota Polis kita perlu menjadi rol model terutama sekali kepada masyarakat,” tekannya, menambah, “Komitmen kita, disiplin kita dan nilai integriti yang tinggi di kalangan anggota adalah amat dituntut.”

Beliau turut menyarankan rekrut untuk sentiasa beringat dan berwaspada semasa menjalankan sebarang tugas dan tanggungjawab serta sentiasa mengikut panduan, perintah, peraturan dan peruntukan undang-undang seperti mana yang telah dipelajari di Pusat Latihan Polis.

Dalam melaksanakan tugas harian, mereka hendaklah sentiasa menggunakan kuasa-kuasa polis selaras dengan peruntukan undang-undang negara tanpa mementingkan diri sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA