Jaga kebajikan perkembangan pelajar

Jaga kebajikan perkembangan pelajar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Kebajikan murid-murid yang memerlukan khususnya pemakanan mereka di sekolah mendapat perhatian dan bantuan daripada Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) yang melaksanakan dan mengembangkan lagi Skim Pengagihan Wang Fidyah dan Sedekah kepada murid-murid di dua buah sekolah.

Skim itu dilanjutkan kepada seramai 40 orang murid dari Sekolah Rendah Tanah Jambu dan 40 dari Sekolah Rendah Sultan Abdul Bubin dalam majlis pelancaran skim yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Dato Mohd Yasin, Kluster 4, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Penolong Pengarah dan Ketua Kluster 4, Jabatan Sekolah-sekolah, Hajah Mariam binti Haji Ladi.

Turut hadir ialah Presiden MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim, Ketua Bahagian Fidyah MKM, Awang Yusof bin Halim, pengetua dan guru-guru besar, ahli-ahli Jawatankuasa MKM, para murid yang diraikan serta ibu bapa masing-masing.

Hajah Mariam dan Datin Paduka Hajah Intan ketika menghadiri majlis tersebut.
Hajah Mariam dan Datin Paduka Hajah Intan ketika menghadiri majlis tersebut.
Awang Yusof ketika menyampaikan ucapan.
Awang Yusof ketika menyampaikan ucapan.
Awang Yusof ketika menyampaikan kad pengenalan kepada para murid penerima Skim Fidyah MKM.
Awang Yusof ketika menyampaikan kad pengenalan kepada para murid penerima Skim Fidyah MKM.

Awang Yusof dalam kata alu-aluannya menjelaskan bahawa bermula 1 Februari, skim bantuan pemakanan itu diberikan kepada seramai 168 orang murid dari empat buah sekolah di Daerah Brunei dan Muara iaitu Sekolah Rendah Tanah Jambu, Sekolah Rendah Sultan Abdul Bubin, Sekolah Rendah Haji Muhammad Salleh dan Sekolah Rendah Sengkurong di mana bantuan pemakanan diberikan kepada para murid setiap hari sekolah sehingga tamat persekolahan bagi 2016.

Beliau menerangkan bahawa skim itu mula dilaksanakan pada 2014 dan sebelum MKM melancarkan skim berkenaan, ahli-ahli MKM telah mengadakan perjumpaan dengan pihak sekolah dan juga operator kantin serta mendapat senarai murid-murid dengan kerjasama pihak sekolah untuk memastikan bahawa murid-murid yang menerima bantuan itu adalah mereka yang dalam golongan yang boleh diberi pengagihan fidyah.

“Skim MKM ini bukan sahaja memberi satu lagi laluan untuk orang ramai membayar fidyah tetapi sekali gus menolong murid-murid sekolah yang memerlukan bantuan ini.”

Jelas Awang Yusof lagi, “Pengalaman selama dua tahun MKM mengendalikan skim ini menunjukkan dengan bantuan yang diterima, murid-murid di bawah skim ini juga menunjukkan kedatangan dan keputusan sekolah yang meningkat.”

Beliau menjelaskan bahawa MKM sehingga kini telah diamanahkan lebih daripada $67,000 untuk menjalankan skim berkenaan di mana kebanyakan wang itu adalah pembayaran fidyah, manakala lebih 10 peratus wang yang diamanahkan itu bukannya daripada wang fidyah tetapi sumbangan yang diterima daripada orang ramai yang ingin mengikuti skim itu.

“Walaupun wang tersebut dilihat banyak, perlu dimaklumkan dana yang perlu untuk skim ini dari Februari tahun ini adalah $168 satu hari bersekolah atau lebih $35,000 setahun bagi empat buah sekolah yang sekarang berada di bawah skim MKM ini.”

Beliau menyatakan harapan MKM untuk bukan sahaja meneruskan skim berkenaan kepada sekolah-sekolah yang sama pada tahun-tahun hadapan malahan melanjutkan dan mengembangkannya kepada sekolah-sekolah lain.

“Untuk itu, kami menyeru kepada orang ramai untuk membayar kewajipan fidyah bukan sahaja untuk diri mereka malahan untuk indung mereka, lebih-lebih lagi yang telah meninggal dunia.”

Majlis kemudian menyaksikan penyampaian kad pengenalan kepada penerima-penerima Skim Fidyah yang disempurnakan oleh Awang Yusof dengan diiringi oleh Hajah Mariam.

Skim Fidyah MKM dilaksanakan dengan setiap murid dalam skim itu diberi satu kad pengenalan dan pada setiap hari bersekolah mereka boleh mendapatkan makanan dan minuman dari kantin sekolah sebanyak $1 sehari bersekolah.

Pengusaha kantin pula akan menyiapkan senarai murid-murid dalam skim itu yang datang mengambil makanan pada hari bersekolah dengan menandakan di bawah tarikh-tarikh murid berkenaan mengambil makanan.

Pada penghujung bulan senarai yang lengkap akan dihadapkan kepada sekolah untuk disemak dan disahkan. Senarai yang telah disahkan akan dihantar ke MKM dan MKM akan membayar jumlah yang telah disahkan kepada pengusaha berkenaan dengan seberapa segera.

Skim yang dilaksanakan di empat buah sekolah pada masa ini adalah dijanjikan selama setahun.