Jaga kebersihan masjid

Jaga kebersihan masjid

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 27 Dis – Agama Islam sangat menitikberatkan aspek kebersihan terutama sekali dalam menjaga kebersihan diri, tempat tinggal, tempat-tempat awam, tempat makan dan termasuklah tempat beribadat iaitu masjid, surau dan balai-balai ibadat.

Sehubungan itu, pagi tadi, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, meneruskan lagi Projek Kempen Kebersihan bagi Masjid-masjid di Daerah Tutong bertempat di Masjid Kampung Sinaut, Tutong.

Terdahulu, acara dimulakan dengan majlis bertahlil dan penyerahan wakaf daripada keluarga mantan imam pertama yang bertugas di masjid berkenaan pada tahun 1956 hingga 1975, Allahyarham Haji Mohamad bin Abdul Razak kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohammad.

Penyerahan wakaf berupa barang-barang keperluan masjid itu disampaikan oleh anak Allahyarham, Haji Ahmadiah bin Haji Mohamad. Haji Masri ketika ditemu bual berkata, kempen kebersihan tersebut dihasratkan akan dapat menanamkan semangat bergotong-royong dan bekerjasama dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk kampung berkenaan dalam sama-sama menjaga kebersihan dan kesucian rumah Allah.

Antara yang menyertai kempen tersebut membersihkan kawasan dalam masjid berkenaan.
Antara yang menyertai kempen tersebut membersihkan kawasan dalam masjid berkenaan.

Menurutnya lagi, beberapa pemantauan juga turut diadakan di beberapa buah masjid di daerah berkenaan, terutama sekali terhadap kebersihan di tandas-tandas masjid, tempat berwuduk dan persekitaran masjid agar sentiasa dalam keadaan bersih dan teratur.

Kempen Kebersihan yang merupakan kesinambungan daripada Kempen Kebersihan Sempena Sambutan Awal Tahun 1437 Hijrah yang lalu itu bertujuan bagi memupuk dan menanamkan sikap bertanggungjawab serta peka terhadap aspek kebersihan di tempat-tempat beribadat.