Jaga kebersih...

Jaga kebersihan persekitaran

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Jan – Kira-kira 100 orang telah menyertai Kempen Kebersihan Berek-berek Kerajaan Blok 624, 626, 725 dan 727, Jalan Singa Menteri, di sini, hari ini.

Kempen yang dikendalikan bersama dua buah syarikat yang terkenal di Daerah Belait, Syarikat Sahid Sdn Bhd dan Syarikat Malai Mashhor Sdn Bhd itu, turut melibatkan penyertaan kalangan pekerja kedua-dua syarikat berkenaan, ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Mumong dan para penghuni berek-berek serta agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Daerah Belait, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, Polis Diraja Brunei Daerah Belait dan Jabatan Kerja Raya Daerah Belait.

Terlibat sama ialah Jabatan Perkhidmatan Elektrik Daerah Belait, Jabatan Alam Sekitar Taman dan Rekreasi Daerah Belait, Jabatan Pembangunan Masyarakat Daerah Belait, Bahagian Dakwah dan Jabatan Pengangkutan Darat Daerah Belait.

Dalam temu bual Media Permata dengan Merinyu Bandaran, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Mohd Shafiee Abdullah yang mewakili Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria menyatakan, kempen yang diadakan berkenaan adalah sebagai platform bagi memberikan kesedaran kepada semua penghuni yang tinggal di kawasan Jalan Singa Menteri khususnya penghuni-penghuni berek supaya menanamkan sifat kesedaran betapa pentingnya kebersihan persekitaran diutamakan.

Menurutnya lagi, mereka perlu terus menyedari bahawa kebersihan boleh membantu menggelakkan jangkitan penyakit selain memberi keselesaan dan keindahan pemandangan persekitaran.

Haji Mohd Yusof bersama ahli Majlis Perundingan Kampung berkenaan turut menyertai kempen kebersihan di kawasan berek-berek Jalan Singa Menteri.
Haji Mohd Yusof bersama ahli Majlis Perundingan Kampung berkenaan turut menyertai kempen kebersihan di kawasan berek-berek Jalan Singa Menteri.

“Jabatan Bandaran meminta kerjasama orang ramai khususnya mereka yang tinggal di persekitaran kawasan ini, supaya menghindari daripada melakukan pembuangan sampah di merata tempat terutamanya dalam longkang dan sebagainya dan hendaklah dibuang di tong-tong yang telah disediakan,” katanya.

Ditanya tentang perkhidmatan pemotongan rumput di kawasan berkenaan, beliau menjelaskan, ia adalah di bawah kawalan Jabatan Bandaran, tetapi memandangkan keadaan ekonomi pada masa ini, menurutnya, perkhidmatan berkenaan dihentikan sementara.

Sehubungan itu, jabatan tersebut meminta kerjasama daripada penduduk supaya tidak hanya akan bergantung sepenuhnya kepada pihak kerajaan, dalam usaha-usaha menjaga kebersihan persekitaran di kawasan kediaman mereka.

“Adalah diharapkan para penghuni di sini akan dapat meneruskan kempen seperti ini dari semasa ke semasa, terutama memotong rumput dan jangan ditunggu sehingga ianya terlalu panjang, kerana lazimnya, jabatan kami memotong rumput dua kali dalam sebulan,” katanya.

Beliau bagi mewakili Jabatan Bandaran dan Jabatan Daerah Belait berharap semua penghuni supaya mempunyai sikap bertanggungjawab dan sama-sama turun padang dalam usaha mengawal kebersihan dan tambahnya, dengan adanya kesedaran mereka itu akan dapat dijadikan contoh kepada penghuni-penghuni kawasan berek-berek yang lain.

“Kami berharap kempen seperti ini akan dapat dijadikan rutin, dengan membantu memotong rumput, mengumpulkan sampah-sampah dan sebagainya, supaya keadaan persekitaran kawasan berek kelihatan lebih bersih dan cantik, kerana jika bersih dan cantik ianya juga akan memberikan keselesaan kepada setiap penghuni di sini, termasuk pengunjung mereka,” ujarnya.

Kempen kebersihan berkenaan antara lain diharap akan memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat serta rakyat dan penduduk di Daerah Belait pada keseluruhannya akan pentingnya bagi sama-sama menjaga kebersihan di kawasan masing-masing dan seterusnya akan dapat membudayakan amalan menjaga kebersihan dan sikap pembersih setiap masa.

Di samping itu, menjadikan kawasan-kawasan dan alam sekitar di mukim-mukim dan kampung daerah ini akan lebih bersih, indah, ceria dan bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk.