Jaga kehormatan dan sensitiviti

Jaga kehormatan dan sensitiviti

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Orang ramai diseru untuk sentiasa mengamalkan sikap penuh bertanggungjawab dalam menggunakan media-media sosial seperti WhatsApp dalam menyebarkan maklumat khususnya dalam memuatnaik gambar mengenai kejadian di sekeliling mereka seperti kejadian kemalangan.

Mereka disarankan untuk tidak memuatnaik gambar-gambar kejadian kemalangan ngeri yang bukan sahaja dianggap tidak bertanggungjawab bahkan tidak menghormati mangsa kejadian berkenaan tetapi juga boleh menyinggung atau menyakitkan perasaan keluarga mangsa yang terlibat.

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar melahirkan perasaan kecewa di atas sikap segelintir orang yang menyebarkan gambar-gambar mangsa kejadian kemalangan ngeri melalui media sosial yang bukannya satu tindakan yang bertanggungjawab malahan boleh menyakiti atau menyinggung perasaan mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Saya berasa dukacita kerana gambar-gambar seperti itu adalah satu yang mengerikan dan bukannya satu sikap yang baik terutamanya dalam beradab dan bersopan bangsa kita.”

Yang Berhormat Pehin menyatakan perkara tersebut semasa temu bual bersama pihak media ketika beliau membuat lawatan dan tinjauan di kawasan kejadian kemalangan yang menyebabkan kematian di kawasan kilometer 83.3, Lebuhraya Muara-Tutong, hari ini.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdullah membuat tinjauan ke atas lokasi di mana kejadian kemalangan maut yang berlaku kelmarin di kawasan Lebuhraya Muara-Tutong.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdullah membuat tinjauan ke atas lokasi di mana kejadian kemalangan maut yang berlaku kelmarin di kawasan Lebuhraya Muara-Tutong.

pg03_150826_c

pg03_150826_e

“Seharusnya dalam keadaan seperti itu, kita harus menjaga kehormatan, menjaga sensitiviti mangsa dan keluarga mereka.

“Jangan tah, gambar-gambar seperti ini kita sebarkan melalui media sosial untuk dilihat oleh orang ramai,” ujar Yang Berhormat Pehin lagi.

Yang Berhormat Pehin berkata bahawa kita harus mempunyai perasaan kasihan dan bersimpati dengan kejadian yang berlaku kepada mangsa dan keluarga mereka serta untuk sentiasa mengamalkan amalan yang baik iaitu sedar dengan perasaan keluarga dan mangsa kemalangan berkenaan.

Semasa tinjauan tersebut, beliau berkata bahawa berdasarkan pada statistik yang ada, terdapat dua kejadian kemalangan yang menyebabkan kematian kepada mangsa kemalangan telah dilaporkan di kawasan kilometer 83.3 Lebuhraya Muara-Tutong.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdullah menyeru kepada orang ramai untuk sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa menggunakan media sosial.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdullah menyeru kepada orang ramai untuk sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa menggunakan media sosial.
Kawasan Lebuhraya Muara-Tutong yang ditinjau oleh Yang Berhormat Pehin.
Kawasan Lebuhraya Muara-Tutong yang ditinjau oleh Yang Berhormat Pehin.

Oleh itu, orang ramai sepatutnya sentiasa peka dan berhati-hati ketika memandu di kawasan berkenaan dan dalam masa yang sama juga mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah, berwaspada, bertimbang rasa, sabar dan sentiasa mematuhi undang-undang ketika memandu.

Beliau berkata bahawa sering kali kesalahan yang dilakukan adalah sebilangan pemandu gagal untuk menggunakan lampu isyarat ketika menukar lorong semasa memandu dan masalah itu bukan sahaja berlaku di Brunei tetapi statistik juga menunjukkan kesalahan itu adalah yang paling banyak dicatatkan.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin mengingatkan amalan menukar lorong dengan memberikan isyarat harus ditanam dalam diri setiap pemandu kerana sikap itu boleh memberikan peluang bagi pemandu lain untuk mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku.