Jaga kemudahan awam

Jaga kemudahan awam

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – Pihak Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) amat peka terhadap kesulitan dan ketidakselesaan yang dihadapi oleh orang ramai dalam mencari alat pam udara tayar (tyre inflator) yang berfungsi di stesen-stesen minyak.

Dalam hubungan itu, pihak BSM yang mengenal pasti akan masalah itu, telah mendapatkan alat-alat pam udara tayar yang baru dan alat itu kini sudah berada di Brunei dan pihak BSM akan mula untuk mengganti pam-pam udara yang rosak dengan pam udara baru itu bermula Januari 2016.

Pada masa yang sama, orang ramai diingatkan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kemudahan yang disediakan di stesen-stesen minyak.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Unit Peruncitan, BSM, Haji Mat Sarudin bin Haji Ismail ketika lawatan dan tinjauan bersama pihak media ke atas pam udara tayar di stesen-stesen minyak, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa sering kali pam-pam udara itu dirosakkan atau dipugut oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, yang menyebabkan kesukaran bagi pengguna lain.

Haji Mat Sarudin menunjukkan alat pam udara tayar yang rosak di sebuah stesen minyak.
Haji Mat Sarudin menunjukkan alat pam udara tayar yang rosak di sebuah stesen minyak.

Beliau turut menasihati para pengguna yang menghadapi kesukaran menggunakan alat itu, untuk meminta bantuan daripada kakitangan stesen dan untuk tidak merosakkan alat pam berkenaan.

Pada masa ini, pihak BSM mempunyai sebanyak 18 unit pam udara yang baru dan akan mula menggantikan pam-pam yang rosak di stesen-stesen minyak di seluruh negara bermula Januari 2016.

Beliau turut menyatakan bahawa bukan kesemua pam udara yang terdapat di stesen-stesen minyak di seluruh negara mengalami kerosakan kerana terdapat juga beberapa buah stesen minyak yang mempunyai pam udara yang masih berfungsi dengan baik.

Menurut kenyataan daripada BSM, pihak mereka sedang bekerjasama rapat dengan kontraktor dan operator stesen minyak untuk melaksanakan tindakan yang bersepadu bagi menaikkan taraf dan menggantikan alat-alat pam udara tayar yang rosak.

Keutamaan bagi pihak BSM, menurut kenyataan itu lagi, adalah untuk memastikan bahawa program penggantian dan menaikkan taraf peralatan itu dilaksanakan secara selamat dan efektif. Pam udara digital yang baru itu mempunyai meter yang serupa dengan pam udara lama dan disediakan dengan panduan tatacara di lokasi bagi rujukan para pengguna.

Apabila tekanan udara yang ditetapkan telah dicapai, alat itu akan memberikan bunyi isyarat dan tekanan tayar akhir akan dipamerkan pada skrin alat berkenaan.

Kakitangan stesen minyak berkenaan juga akan diberikan penerangan mengenai penggunaan betul alat-alat berkenaan supaya mereka boleh membantu dan memberikan tunjuk ajar kepada para pengguna mengenai tatacara penggunaan alat itu secara betul.

Projek penggantian dan menaik taraf itu sedang dilaksanakan dan orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai senarai alat pam tayar yang berfungsi, mereka boleh melayari laman sesawang BSM, www.bsm.com.bn.

Di samping itu, maklumat terkini juga akan diletakkan di stesen-stesen minyak dan akan sentiasa dikemaskinikan untuk memberikan maklumat yang berguna bagi keselesaan para pengguna.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklum balas, boleh menghubungi BSM di talian 2774277 atau e-mel BSM-External-Affairs@shell.com.

ARTIKEL YANG SAMA