Jaga kesihatan dalam panas

Jaga kesihatan dalam panas

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Berikutan keadaan cuaca panas yang melanda di negara-negara rantau hemisfera utara yang juga dialami di negara ini, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan sebarang kemudaratan yang boleh menjejaskan kesihatan.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya hari ini, mengingatkan orang ramai untuk memastikan ruang bilik sentiasa dalam keadaan sejuk di bawah suhu 32 darjah Celsius pada waktu pagi dan 24 darjah Celsius pada waktu malam.

Ini adalah penting terutama bagi kanak-kanak damit, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Di samping itu, orang ramai juga disarankan untuk memakai pakaian longgar yang tidak terlalu tebal dan menggunakan topi serta kaca mata hitam semasa keluar rumah dan jangan meninggalkan sesiapa dalam kereta yang berada di bawah matahari.

Selain itu, kekerapan meminum air secukupnya juga amat penting bagi mengelakkan kekurangan cecair dalam badan dan dehidrasi.

Kementerian berkenaan juga menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada keluar untuk melakukan aktiviti fizikal yang berat dan berada di bawah matahari pada waktu panas dan jika perlu, keluar atau melakukan sebarang aktiviti dengan berlindung daripada sinar matahari.

Sementara itu bagi mereka yang mengalami kekejangan otot seperti di kawasan perut, kaki atau tangan setelah melakukan senaman pada cuaca yang sangat panas disarankan untuk segera berehat di ruang yang sejuk dan meminum air rehidrasi untuk menggantikan air dalam badan.

Menurut kementerian berkenaan, kekejangan otot yang melebihi satu jam atau mengalami simptom yang luar biasa, dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dan berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai juga disarankan untuk berada di ruang yang sejuk jika mengalami simptom-simptom seperti pening kepala, badan merasa lemas dan dahaga yang kuat.

ARTIKEL YANG SAMA