Jaga kesihatan di tanah suci

Jaga kesihatan di tanah suci

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Jemaah haji diingatkan supaya menjaga kesihatan sebelum bertolak ke Arab Saudi di samping memahami keadaan di Mekah, Madinah, Mina dan Arafah kerana suasana di sana amat berbeza dengan keadaan di sini.

Perkara ini dijelaskan oleh Pemangku Pengarah Urusan Haji, Haji Abdullah bin Haji Mohamad pada sesi Taklimat Kesihatan Bagi Bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Musim Haji Tahun 2015 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah Kompleks Bangunan Kementerian Kesihatan hari ini.

Antara lain taklimat ini bertujuan mempersiapkan bakal jemaah haji dari aspek kesihatan sebelum bertolak ke Tanah Suci dengan memberi penerangan dan penjelasan mengenai peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, ia memberi panduan kesihatan yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh bakal jemaah haji sebelum bertolak dan semasa berada di tanah suci hingga kembali ke tanah air.

Beliau dalam ucapannya turut menasihatkan bakal jemaah haji supaya membuat sukat-sukat dan mengukur kemampuan diri masing-masing dalam membuat ibadat sekadar yang termampu tanpa menjejaskan kesihatan.

Antara bakal jemaah haji wanita yang mengikuti taklimat itu.
Antara bakal jemaah haji wanita yang mengikuti taklimat itu.

Bakal jemaah haji juga diingatkan supaya memantapkan dan menguatkan kesabaran dalam apa juga cabaran dan dugaan yang dihadapi semasa berada di tanah suci nanti.

“Taklimat kesihatan ini sesuai dengan saranan Kementerian Haji Arab Saudi supaya bakal jemaah haji diberikan kempen kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan sebelum bertolak ke Arab Saudi,” jelasnya.

Haji Abdullah seterusnya mengingatkan mereka supaya sentiasa memakai gelang tangan haji semasa berada di Arab Saudi kerana, gelang tersebut mempunyai maklumat penting mengenai diri jemaah selain ia juga berguna untuk pihak berkenaan di Arab Saudi jika berlaku satu musibah yang tidak diingini.

Taklimat kesihatan disampaikan oleh Pemangku Pakar Penjagaan Kesihatan Asasi, Pusat Kesihatan Berakas B Dr Haji Zulhilmi bin Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah dengan tajuk, Penjagaan Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan di Tanah Suci.

Sementara tajuk taklimat mengenai kesihatan bagi jemaah haji wanita disampaikan oleh Pegawai Perubatan Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) Dr Nor Shantila binti Haji Momin.

Dr Haji Zulhilmi dalam sesi taklimat beliau menjelaskan, penyakit cirit birit, muntah, sakit perut dan demam sering berlaku semasa berada di tanah suci dan bakal jemaah haji disarankan untuk menjaga kebersihan dengan sentiasa mencuci tangan dengan sabun bagi pencegahannya.

Selain itu, mereka dinasihatkan mengelakkan makanan yang sudah lama disimpan dan sentiasa menyimpan makanan dan minuman di dalam peti sejuk dan elakkan membeli makanan di kedai yang tidak bersih.

Beliau turut menjelaskan mengenai virus MERS-CoV dan virus Ebola yang mana bakal jemaah dinasihatkan supaya selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun terutama selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.

Pada tahun ini, seramai empat orang doktor lelaki dan dua doktor perempuan dan 14 jururawat dari Negara Brunei Darussalam dihantar untuk memberi perkhidmatan pada musim haji tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA