Jaga kesihatan ketika majlis ramah mesra dan junjung ziarah

Jaga kesihatan ketika majlis ramah mesra dan junjung ziarah

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 20 Ogos – Sebagai persiapan Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 di Daerah Belait, pada 22 Ogos ini, orang ramai serta para peserta perarakan dinasihatkan untuk menjaga keselamatan sesama sendiri ketika menunggu dalam masa yang panjang untuk mengelakkan daripada mengalami masalah kesihatan.

Nasihat ini dibuat oleh Ketua Perkhidmatan EMAS, Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait, Awang Mohammad Shahrin bin Haji Jumat ketika ditemu bual menerusi telefon menjelang perarakan yang akan berlangsung.

Beliau juga menggalakkan para peserta yang mengambil bahagian dalam perarakan agar mendapatkan rehat secukupnya, sarapan serta menyediakan minuman air mineral sendiri sebagai langkah berjaga-jaga jika cuaca keesokannya menjadi terik.

“Daripada pihak kami, ada tiga klinik statik dari setiap sudut Padang Bandaran berserta tiga buah ambulans disediakan dan pasukan paramedik bergerak (yang akan bersedia untuk membantu mana-mana peserta dan pengunjung yang ada.

“Seramai 85 kakitangan dari Hospital Suri Seri Begawan yang terdiri daripada pegawai perubatan, paramedik, jururawat dan kakitangan hospital membantu dalam liputan perubatan ini dan tidak lupa bantuan daripada badan bukan kerajaan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Belait, Persatuan Pengakap Daerah Belait dan dari Pusat Kesihatan Panaga BSP juga akan bekerjasama dengan pihak kami,” jelas beliau.

Manakala itu, Pegawai Pemerintah Operasi Cawangan ‘B’ Daerah Belait Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penguasa Kanan Muhd Shahreeni bin Haji Mohd Yussof, pula menasihatkan para pengguna jalan raya supaya tidak akan meletakkan kereta di kawasan yang berdekatan atau pun yang boleh menghalang pam air (fire hydrant) kerana bimbang akan menyukarkan lagi anggota bomba untuk bertindak memadam kebakaran jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

“Jika terhalang, ia sudah memakan masa yang lama dan akan menyebabkan anggota bomba sukar mencari pam air untuk membuat tindakan cepat. Mengeluarkan air pada jet pertama dalam masa yang cepat dan cekap adalah amat penting untuk anggota bomba memadam kebakaran dan seterusnya boleh mengurangkan kadar kerosakan harta benda ataupun dapat mengelakkan api merebak dengan cepat,” tekan beliau.

Dalam laporan Media Permata pada 18 Ogos yang lalu, pengguna-pengguna jalan raya juga diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan juga arahan yang diberi oleh anggota-anggota polis yang bertugas.

Zon-zon letak kereta berkenaan akan bermula dari jam 6 petang sehingga acara selesai pada keesokan harinya.

Hanya kenderaan tertentu sahaja dibenarkan meletakkan kenderaan di kawasan-kawasan yang telah dinyatakan. Laluan alternatif menuju ke Padang Bandaran dan zon-zon letak kereta dan letak kereta awam adalah dari Simpang Jalan Maulana masuk ke Jalan Panglima; sepanjang Jalan Panglima memasuki Jalan Bunga Raya dan Jalan McKerron dari Jalan Bunga Raya.