Jaga kesihatan

Jaga kesihatan

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – “Walaupun mempunyai duit yang banyak, tanpa kesihatan kitani inda dapat buat apa-apa.”

Oleh itu, pesakit kanser, Pengiran Hajah Rokiah binti Pengiran Abdullah menasihati orang ramai supaya menjaga kesihatan kerana dengan kesihatan yang baik, ia akan membuatkan hidup berjalan dengan lancar dalam menjalani hidup seharian.

Beliau turut menasihatkan supaya tidak memandang ringan simptom-simptom yang kerap berlaku kerana dikhuatiri sesuatu yang mungkin berlaku tanpa disedari.

“Sebagai manusia yang mempunyai serba kekurangan, kita perlu mendapatkan rawatan lebih awal dan seterusnya meminta nasihat kepada doktor,” ujar beliau semasa mengongsikan pengalamannya sebagai pesakit kolorektal peringkat ketiga semasa Forum Awam bersempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2016 yang diadakan di Pusat Promosi Kesihatan, pagi tadi.

Pengiran Hajah Rokiah menceritakan, beliau telah disahkan menghidap kanser kolorektal peringkat ketiga pada Januari 2013 dan pada masa itu, beliau hanya mengingatkan mati.

Pengiran Hajah Rokiah semasa berkongsi pengalamannya sebagai pesakit kanser di forum awam sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2016 di Pusat Promosi Kesihatan, semalam.
Pengiran Hajah Rokiah semasa berkongsi pengalamannya sebagai pesakit kanser di forum awam sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2016 di Pusat Promosi Kesihatan, semalam.

Sebelum disahkan menghidap kanser, beliau pada mulanya sering mengalami sakit perut yang biasa sehinggalah dibawa ke Bilik Kecemasan kerana tidak dapat menahan sakit yang teramat sangat dan tidak dapat membuang air besar, pening dan lemah.

Setelah diperiksa oleh doktor, beliau diberitahu mesti menjalani pembedahan kerana kolonnya sudah pecah. Selepas dibedah, beliau dipanggil ke Unit Penjagaan Radioaktif dan berjumpa Dr. Haji Syafiq yang mengesahkan beliau mengidap kanser kolon peringkat tiga.

Katanya dengan sayu, pada masa itu, beliau hanya memikirkan mati dan anak-anaknya, namun doktor telah memberikan kata-kata semangat yang mana setiap penyakit ada ubatnya dan “Alhamdulillah, dengan semangat kental dan sokongan ahli keluarga dan kawan-kawan, saya boleh melawan kanser dan kekal kuat”.

Untuk menjaga kesihatannya, beliau perlu menjalani kemoterapi 12 kali selama enam bulan dan kesan-kesan sampingan yang dihadapi adalah seperti mengalami rambut gugur dan selera makan berkurangan.

Dengan semangat kental dan sokongan keluarga, teman-teman dan doktor, beliau tidak lupa menyiapkan diri secara rohani dan jasmani dengan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, sentiasa menjaga kesihatan dengan memakan ubat yang dinasihati oleh doktor, menjaga pemakanan, tidur yang cukup dan selalu berdoa kepada Allah agar diberikan kelancaran untuk berubat.

ARTIKEL YANG SAMA