Jaga nama negara di Tanah Suci

Jaga nama negara di Tanah Suci

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Bakal jemaah haji dinasihatkan untuk sentiasa menjaga nama baik negara ketika menjalani ibadah haji di Tanah Suci Mekah kelak.

Ini termasuklah menjaga tatatertib, mematuhi peraturan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan tidak menimbulkan sebarang masalah di sana.

Nasihat itu dititipkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika berucap ringkas pada Kursus Amali (Praktikal) Ibadat Haji yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Menurutnya lagi, setakat ini jemaah haji Negara Brunei Darussalam dipuji oleh Menteri Haji dan Wakaf Kerajaan Arab Saudi kerana tidak pernah menimbulkan sebarang masalah dan sentiasa patuh dengan peraturan yang dikenakan.

Pujian itu merupakan cabaran bagi agensi kerajaan, syarikat dan jemaah haji untuk terus menjaga nama baik negara.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menasihatkan bakal jemaah haji pada Kursus Amali Ibadat Haji di Stadium Tertutup.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menasihatkan bakal jemaah haji pada Kursus Amali Ibadat Haji di Stadium Tertutup.
Antara bakal jemaah haji wanita yang menghadiri kursus itu.
Antara bakal jemaah haji wanita yang menghadiri kursus itu.

Yang Berhormat Pehin juga berpesan agar bakal jemaah haji mengulang kaji ilmu pengetahuan ibadah haji yang dipelajari dari segi yang diharamkan, wajib, sunat, apa yang disuruh dan dilarang dan sebagainya.

“Ingatlah bahawa kesempurnaan ibadah haji itu banyak bergantung kepada ilmu pengetahuan yang dipelajari dalam kursus yang diikuti selain berusaha sendiri dengan banyak bertanya atau merujuk kepada orang-orang yang tahu dan berpengetahuan,” tambahnya.

Seramai 400 bakal jemaah haji menghadiri kursus itu yang merupakan kegiatan tahunan anjuran Bahagian Bimbingan Haji, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU). Ia merupakan kesinambungan daripada Kursus Teori Ibadat Haji yang diadakan serentak di keempat-empat daerah pada setiap Jumaat dan Ahad selama 10 kali pada 22 April hingga 29 Mei lalu.

Kursus amali ini bertujuan mempersiapkan bakal jemaah haji ilmu pengetahuan melaksanakan ibadat haji sebelum bertolak ke Tanah Suci Mekah dikendalikan oleh lima orang fasilitator haji. Ini termasuklah cara-cara mengerjakan Tawaf, Sa’ie, melontar Jamrah serta memakai pakaian Ihram.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Charge d’Affairs Kedutaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan KHEU.

ARTIKEL YANG SAMA