Jaga nilai Melayu Islam Beraja

Jaga nilai Melayu Islam Beraja

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Institusi-institusi pengajian tinggi swasta disarankan untuk sentiasa peka terhadap pengaruh-pengaruh budaya, ajaran-ajaran dan ideologi luar yang mudah diakses melalui pelbagai kaedah teknologi terkini seperti media sosial kerana ia mampu untuk membawa budaya serta pengaruh negatif dan untuk memastikan supaya sistem nilai Melayu Islam Beraja, sentiasa dijaga.

Mereka diseru untuk meneliti kegiatan yang dijalankan, bahan pengajaran dan rujukan, etika pakaian pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan supaya ia sejajar dan tidak bercanggah dengan tatasusila dan budaya negara yang berpaksikan konsep negara, Melayu Islam Beraja.

Seruan itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman ketika berucap pada Majlis Tamat Pengajian Kolej Antarabangsa Micronet 2016 yang berlangsung di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Mengulas mengenai isu memasuki alam pekerjaan, Yang Berhormat Pehin berkata, statistik dari Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) menunjukkan kadar pengangguran yang menurun iaitu 6.9 peratus pada 2014 kepada 6.4 peratus pada April 2015.

“Namun kadar pengangguran ini masih tertinggi dalam kalangan negara ASEAN, justeru itu, isu pengangguran ini masih lagi perlu ditangani oleh pelbagai pihak bukan sahaja pihak kerajaan, melalui pelbagai inisiatif yang boleh dilaksanakan di semua sektor.”

Yang Berhormat Pehin ketika berucap pada majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin ketika berucap pada majlis berkenaan.

Yang Berhormat Pehin berkata lagi, “Dalam pada itu, kita tidak lagi berupaya bergantung kepada pihak kerajaan sahaja untuk menangani isu keterbatasan peluang pekerjaan atau pasaran kerja yang semakin kompetitif di negara ini.

“Akan tetapi, kita perlulah mengambil pendekatan secara holistik yakni ‘whole nation approach’.”

Yang Berhormat Pehin menyeru supaya para graduan untuk bersikap lebih terbuka dan proaktif dalam mencari pekerjaan, iaitu bersedia untuk bekerja di sektor-sektor swasta ataupun melibatkan diri dalam bidang keusahawanan bagi mendokong ekonomi negara.

“Pada masa yang sama, saya berharap agar institusi-institusi pendidikan tinggi swasta akan memastikan bahawa program-program yang ditawarkan hendaklah relevan dan berdaya tahan sesuai dengan kehendak industri dan pasaran dan berupaya menghasilkan graduan-graduan yang mempunyai ciri-ciri keboleh-pasaran atau ‘marketability’ bagi sama-sama menyumbang ke arah kemajuan negara di samping mengurangkan kadar pengangguran.”

ARTIKEL YANG SAMA