Jaga pemakanan kita

Jaga pemakanan kita

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Meskipun Syawal sudah pun hampir ke penghujungnya dan jemputan makan semakin giat diadakan di sana-sini, namun umat Islam dan rakyat negara ini dinasihatkan untuk mengamalkan gaya hidup sederhana termasuklah dalam pengambilan makanan dan minuman.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menyeru agar umat Islam tidak makan dan minum secara berlebihan yang pastinya akan menyebabkan ketidakselesaan kepada tubuh badan, malah ia juga boleh menjejaskan ke-sihatan.

Khatib menambah, makan berlebihan terutama pengambilan makanan yang kaya dengan gula dan karbohidrat akan mendatangkan rasa malas, letih, penat dan mengantuk.

Makanan berkarbohidrat seperti nasi, mi atau tepung yang mengandungi kanji akan dihadam menjadi glukos yang mana hal tersebut menyebabkan paras gula dalam darah meningkat tinggi dan menyebabkan penyakit kencing manis.

Dengan amalan kunjung-mengunjungi sambil menjamu selera, secara tidak langsung kita akan makan secara berlebihan dan mengambil lebih banyak kalori daripada yang diperlukan dan jika itu tidak dikawal, ia akan memudaratkan kesihatan tubuh badan.

“Hal tersebut tidak selaras dengan ajaran agama yang meletakkan kesihatan dan kesejahteraan itu di tempat yang tinggi selepas keimanan,” tegasnya.

Khatib turut menyentuh mengenai laporan pemakanan global baru-baru ini yang menempatkan Brunei sebagai negara yang mempunyai ranking atau tahap tertinggi bagi obesiti iaitu berat badan berlebihan dalam kalangan orang dewasa di rantau Asia.

“Perkara ini mendukacitakan, apatah lagi Wawasan Brunei 2035 berhasrat untuk menjadikan negara antara 10 buah negara yang mempunyai kualiti hidup tertinggi di dunia,” katanya.

Rakyat sihat yang mempunyai nilai tinggi terhadap agama dan negara adalah diperlukan untuk menjadi sumber tenaga manusia yang lebih berdaya tahan dan produktif yang setentunya meningkatkan kemahiran dan ekonomi negara.

Sehubungan itu, khatib menyeru untuk sama-sama menjaga dan berhati-hati dalam pemilihan makanan setiap masa kerana usaha mencegah itu adalah lebih baik dari mengubati, di mana Islam sendiri menganjurkan umatnya supaya dapat membuat keseimbangan dalam pemilihan pemakanan.

Antara cara-cara yang boleh diamalkan untuk kekal cergas ialah melakukan kegiatan aktif sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari seperti bersenam, membersihkan halaman rumah dan seumpamanya.

Selain itu, amalkan minum air putih sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, mengurangkan meminum minuman bergas atau minuman panas seperti teh atau kopi mengurangkan gula di dalam minuman tersebut.

Menggantikan susu pekat manis kepada susu rendah lemak dalam penyediaan minuman dan mengamalkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran, selain itu utamakan masakan tanpa santan atau memasak dengan minyak yang sedikit.

“Menjaga kesihatan bukan setakat merawat penyakit yang dihidapi tetapi menjauhkan diri daripada melakukan apa juga perkara yang boleh menjejaskan kesihatan,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA