Jaga persekitaran melalui ilmu bacaan

Jaga persekitaran melalui ilmu bacaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Dengan harapan agar dapat menambah ilmu pengetahuan ahli-ahli terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan bumi yang didiami melalui bahan pembacaan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Tunas mengadakan acara 2 dalam 1 secara serentak iaitu Sambutan Hari Bumi Sedunia 2016 yang bertemakan ‘Pokok untuk Bumi’ dan Sambutan Hari Buku Sedunia 2016.

Acara yang berlangsung di Bilik Persidangan, Tingkat 4, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, hari ini, itu disertai oleh lebih 100 orang ahli Pengakap Tunas dari sekolah rendah kerajaan dan sekolah rendah pendidikan swasta iaitu sebanyak lima buah sekolah rendah kerajaan dan lima buah sekolah rendah pendidikan swasta.

Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan ialah Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata; Sekolah Rendah Tungku; Sekolah Rendah Masin; Sekolah Rendah Datu Ahmad; Sekolah Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei Lambak; Sekolah Seri Mulia Sarjana; Sekolah Fairview; Sekolah Tadika Jaya Malai Hajah Rogayah dan Sekolah Sinaran Mas.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis pelancaran program ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan.

Hajah Noraini ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Hajah Noraini ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Haji Azis bergambar ramai bersama peserta program.
Haji Azis bergambar ramai bersama peserta program.

Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali; Setiausaha Agong PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar; Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi; pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap; para pegawai pengakap dan pemimpin pasukan pengakap.

Menurut Hajah Noraini yang juga Pemimpin Pasukan Pengakap Tunas di Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok selaku Pengerusi Program Sambutan Hari Buku Sedunia dan Hari Bumi Sedunia 2016 Peringkat PPNBD, Sambutan Hari Buku Sedunia yang disambut pada setiap 23 April dianjurkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menggalakkan membaca, penerbitan dan hak cipta. Hari Buku Sedunia disambut buat pertama kalinya pada 23 April 1995.

Pihak UNESCO telah melaksanakan tanggungjawab mengadakan acara itu, dengan bantuan Majlis UNESCO yang bertujuan untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan rakyat khususnya golongan belia dan mengetengahkan pelbagai isu-isu berkaitan penulis, penerbit dan lain-lain pihak yang berkaitan.

Ia bermatlamat untuk menggalakkan anak-anak menerokai keseronokan membaca buku-buku dengan menyediakan mereka peluang mempunyai sebuah buku sendiri. Sambutan tahunan ini telah diraikan oleh lebih 100 buah negara di seluruh dunia.

Sementara itu, Sambutan Hari Bumi Sedunia pula merupakan acara tahunan yang disambut pada setiap 22 April dan ia diraikan di seluruh dunia untuk menunjukkan sokongan bagi perlindungan alam sekitar.

Ia pertama kali diraikan pada 1970 dan kini ia diselaraskan secara global oleh rangkaian hari bumi dan diraikan di lebih 193 negara pada setiap tahun.

Program 2-dalam-1 itu dihasratkan untuk memberi pendedahan dan pendidikan serta kesedaran bagaimana generasi muda berperanan dalam usaha membantu bagi penjagaan alam sekitar mereka melalui pelbagai kegiatan yang boleh dijalankan.

Di samping itu juga, ia bertujuan untuk memperkasakan budaya membaca dan memberi kefahaman yang lebih kepada ahli-ahli Pengakap Tunas mengenai kepentingan membaca buku. Untuk dijadikan hobi membaca buku sebagai amalan dalam kehidupan seharian bagi Pengakap Tunas.

Dalam pada itu, ia juga dihasratkan untuk mengeratkan silaturahim di antara pemimpin dan ahli-ahli Pengakap Tunas yang berlainan sekolah.

Pada 2016, program sambutan diubah dari tahun-tahun yang lalu dengan kegiatan yang dijalankan adalah lebih kepada kefahaman dan pengetahuan ahli-ahli Pengakap Tunas melalui pembacaan buku mengenai alam sekitar.

Antara kegiatan yang turut dijalankan bagi sambutan tahun ini adalah pertandingan bercerita mengenai alam sekitar, kuiz alam sekitar mengenai projek penanaman pokok PPNBD di Sungai Mau, Daerah Belait serta pertandingan mewarna.

Semua kegiatan yang dipertandingkan telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori rendah bawah bagi pelajar Tahun 2 hingga 4 dan kategori rendah atas dari Tahun 5 hingga 6.

Di dalam menggalakkan penglibatan ahli-ahli Pengakap Tunas menjalani latihan kemahiran mereka, PPNBD telah menyediakan skim lencana kemahiran dan lencana kecekapan Pengakap Tunas yang turut menyediakan Lencana Membaca Buku dan Lencana Alam Sekitar kepada ahli-ahli Pengakap Tunas yang berjaya melakukan tugasan seperti yang dikehendaki dalam skim berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA