Jaga prestasi dan prestij

Jaga prestasi dan prestij

Oleh Sim Y. H.

Gambar Oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei menunjukkan perkembangan yang signifikan di mana ia bakal ditempatkan ke prasarana baru dengan kemudahan yang canggih dan moden di Kampung Tanah Jambu.

“Saya percaya bahawa dengan adanya fasiliti tersebut suasana pembelajaran dan latihan akan lebih kondusif serta meletakkannya sebagai institusi latihan ketenteraan terkenal di rantau ini,” sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam Upacara Perbarisan Pentauliahan (Sovereign’s Parade) Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Pengambilan ke-13 yang berlangsung di Padang Kawad Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei di Perkhemahan Sungai Akar, hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda menyeru semua pihak terutama pengurusan tertinggi Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei supaya sentiasa berusaha menjaga prestasi dan prestij Sekolah Pegawai Kadet sesuai dengan wawasan sekolah sebagai Pusat Kecemerlangan dalam melahirkan pegawai-pegawai yang berkualiti tinggi.

Duli Yang Teramat Mulia berkenan bersabda.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan bersabda.

p03-2_20151023

“Perancangan sumber tenaga manusia, harus diatur dengan lebih sistematik demi melahirkan barisan pelapis dan pemilihan jurulatih-jurulatih yang layak dan berwibawa,” sabda Duli Yang Teramat Mulia, sekali gus menyarankan agar setiap pegawai kadet yang ditauliahkan menjadi individu yang berkeyakinan tinggi kerana mereka yang berkeyakinan tinggi akan berusaha dengan lebih gigih serta menggunakan sebaiknya keupayaan berfikir secara analitis dalam mencari penyelesaian.

Di samping itu, mereka juga tidak seharusnya mudah berputus asa apabila melakukan apa jua tugasan biarpun adanya pelbagai cabaran dan permasalahan yang timbul.

“Menyentuh mengenai kepimpinan, saya ingin mengingatkan setiap pegawai kadet untuk sentiasa mengamalkan prinsip ‘servanthood’ dalam kepimpinan masing-masing nanti.

“Tanggungjawab seorang pemimpin hendaklah memastikan setiap yang dipimpinnya mendapat dorongan dan sokongan yang mereka perlukan pada setiap masa lebih-lebih lagi semasa melaksanakan serta menyelesaikan tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.

“Sesungguhnya, sikap keprihatinan dan pemedulian sedemikian bukan sahaja mampu membina keyakinan serta mendorong kompetensi mereka, malah ia boleh mengelakkan wujudnya ‘positional mindset’ pada diri pemimpin itu sendiri, yakni yang lebih mementingkan kedudukan dan pangkat semata-mata.”

Di samping itu, Duli Yang Teramat Mulia menyeru pegawai kadet supaya berwaspada terhadap pengaruh-pengaruh luar yang bertentangan dengan nilai-nilai luhur agama, keperibadian dan budaya bermasyarakat. “Jangan ada di antara pegawai-pegawai tentera terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat.”

Duli Yang Teramat Mulia turut bersabda bahawa jalinan hubungan yang rapat dengan negara-negara sahabat juga merupakan satu aspek penting dalam menjaga keselamatan serantau dan antarabangsa.

“Kita akan terus memupuk kerjasama terutama atas dasar kepentingan bersama dan interdependency bagi menjaga keselamatan serantau.

“Inisiatif-inisiatif atau program-program ke arah mempertingkatkan diplomasi pertahanan perlu diperluaskan bukan sahaja di peringkat strategik bahkan juga di peringkat taktikal. Menyebut mengenai kerjasama dua hala. Saya telah difahamkan bahawa Sekolah Pegawai Kadet telah maju setapak lagi di mana latihan kepimpinan dua hala dengan negara New Zealand telah diungkayahkan pada tahun ini.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi nilai latihan melalui pendedahan kepada pengalaman dan kaedah pembelajaran yang baru. Latihan seumpama ini dipercayai akan melahirkan pemimpin tentera yang peka kepada amalan terbaik, teknik operasi yang lebih mantap dan budaya serta etika kerja angkatan tentera yang lebih baik.”

ARTIKEL YANG SAMA