Jaga rahsia kerajaan

Jaga rahsia kerajaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Semua kakitangan sebagai penjawat jawatan awam di bawah kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, diwajibkan untuk mematuhi segala peraturan dan prinsip yang termaktub dalam Akta Rahsia Rasmi Kerajaan.

“Biskita perlu sentiasa ingat bahawa tindakan tatatertib serta tindakan daripada pihak tertentu akan dikenakan sekiranya biskita didapati melanggar peraturan yang sedia ada.

“Oleh yang demikian, adalah amat mustahak bagi setiap warga kerajaan untuk menjaga kerahsiaan maklumat rasmi kerajaan atau sulit serta untuk tidak disebarkan melalui apa jua kaedah termasuklah melalui media sosial.”

Peringatan itu dibuat oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus (gambar) ketika berucap pada Perasmian Program Induksi Pekerja Bergaji Hari Tahun Kewangan 2015/2016 Kementerian Pendidikan, hari ini.

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri itu, Pengiran Haji Rosli berkata, kecemerlangan dalam sesebuah organisasi jabatan bergantung pada nilai-nilai murni kakitangan pekerja itu sendiri.

pg01_160524_b

“Ini kerana kakitangan seperti biskita merupakan aset yang sama pentingnya dan utamanya bagi tujuan melaksanakan apa jua perancangan yang telah dicadangkan oleh pihak atasan,” kata beliau.

“Saya percaya jabatan yang dianggotai oleh individu-individu yang cemerlang dan penuh dedikasi pasti dapat melaksanakan tugasan dengan baik dan berkualiti,” kata beliau lagi.

Pengiran Haji Rosli turut menyatakan harapan supaya setiap warga kerja jabatan dapat menjadi modal insan yang berintegriti dan mempunyai wawasan untuk berjaya, serta menyeru semua untuk terus berusaha gigih bagi membantu dan membangunkan jabatan amnya serta tempat mereka ditempatkan khasnya.

“Saya pasti dengan adanya semangat bekerja dalam satu pasukan dapat membuatkan kementerian ini agar lebih pragmatik dan berwibawa dan seterusnya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efektif, sistematik dan memuaskan.”

Di samping itu, beliau berkata jabatan berkenaan merupakan salah sebuah jabatan yang menawarkan serta menyumbangkan perkhidmatan kepada pihak-pihak yang berkenaan di mana jabatan itu harus sentiasa bersedia dan berusaha untuk menambah baik layanan serta perkhidmatan yang diberikan.

Program induksi itu disertai oleh seramai 172 orang kakitangan bergaji hari pengambilan tahun kewangan 2015/2016 di bawah Kementerian Pendidikan di mana program berkenaan diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga 26 Mei.

Program yang dikendalikan oleh Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan itu adalah amat penting dan menjadi salah satu tanggungjawab jabatan sebagai usaha untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran para kakitangan bergaji hari dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan serta berkualiti tinggi.

Di samping itu, program-program bagi peningkatan pengetahuan dan kemahiran para kakitangan bergaji hari terus dan sentiasa dikembangkan serta dikemaskinikan selaras dengan keperluan dan fungsi bahagian atau jabatan khususnya dan kementerian amnya selain menubuhkan rangkaian kerja di antara pegawai dan kakitangan di jabatan berkenaan dengan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan mahupun kementerian lain.

Program itu bermatlamat untuk memberikan asas pengenalan mengenai organisasi dan peranan Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan serta bahagian dan unit di bawahnya dan juga untuk memberikan kefahaman mengenai etika kerja serta keselamatan di tempat kerja.

Dalam program induksi itu, para peserta akan mendengari taklimat daripada para pegawai dari bahagian dan jabatan di bawah Kementerian Pendidikan serta pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Biro Mencegah Rasuah.

Antara isi kandungan kursus adalah pengenalan dan peranan Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, taklimat motivasi, taklimat mengenai peraturan-peraturan am kerajaan serta tindakan tatatertib, taklimat pengurusan dalam pejabat atau sekolah, taklimat mengenai keselamatan di tempat kerja, keselamatan makanan dan kawalan keselamatan, taklimat mengenai rasuah dan taklimat keselamatan serta Ikrar Akta Rahsia Rasmi, Penggal 153.

ARTIKEL YANG SAMA