Jagalah buah pinggang

Jagalah buah pinggang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Penyebab utama penyakit buah pinggang kronik adalah penyakit diabetes dan penyakit tekanan darah tinggi.

Di Brunei, lebih 57 peratus kes kegagalan fungsi buah pinggang berpunca daripada penyakit diabetes dan lebih 21 peratus adalah disebabkan oleh penyakit tekanan darah tinggi.

Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan terus berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan memberikan maklumat kepada orang ramai mengenai penyakit buah pinggang dan langkah-langkah pencegahannya, dengan mengadakan Majlis Hari Keluarga Sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2016 yang berlangsung di Pusat Dialisis, Kampung Rimba, hari ini.

Majlis disertai oleh kira-kira 100 orang pegawai dan kakitangan dari Jabatan Perkhidmatan Renal bersama ahli keluarga dan para pesakit yang mana mereka turut berpeluang menyertai kegiatan riadah dan senaman Zumba serta melihat pameran mengenai penyakit buah pinggang.

Warga Kementerian Kesihatan bersama ahli keluarga dan para pesakit menyertai senaman Zumba pada Majlis Hari Keluarga Sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2016.
Warga Kementerian Kesihatan bersama ahli keluarga dan para pesakit menyertai senaman Zumba pada Majlis Hari Keluarga Sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2016.
Kalangan warga kerja bersama ahli keluarga turut bergambar ramai pada Majlis Hari Keluarga tersebut.
Kalangan warga kerja bersama ahli keluarga turut bergambar ramai pada Majlis Hari Keluarga tersebut.

Penyakit buah pinggang boleh memberikan pelbagai kesan bukan sahaja kepada para pesakit tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan pihak kerajaan dari segi sumber kewangan, pengurangan produktiviti, mengakibatkan tekanan emosi, beban sosial, kos rawatan tinggi serta memerlukan penyediaan tempat bagi rawatan dialisis.

Pada masa ini, terdapat enam buah pusat rawatan dialisis di seluruh negara, tiga buah di Daerah Brunei dan Muara iaitu Pusat Dialisis Rimba, Pusat Dialisis Kiarong, Unit Dialisis Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, dan masing-masing sebuah di Daerah Tutong iaitu Pusat Dialisis Tutong, Pusat Dialisis Kuala Belait di Daerah Belait dan Unit Dialisis Temburong, Hospital PIHM, di Daerah Temburong.

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2016 membawa tema ‘Penyakit Buah Pinggang dan Kanak-kanak’ merupakan kempen global yang disambut setiap Mac yang dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran ramai berhubung pentingnya buah pinggang kepada kesihatan secara keseluruhan dan mengurangkan risiko serta kesan penyakit berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA