Jagalah kebersihan kampung

Jagalah kebersihan kampung

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 3 Dis – Bagi meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan kampung, Kempen Kebersihan anjuran Majlis Perundingan Kampung Kiudang/Mungkom dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong dan Pejabat Kesihatan Tutong telah diadakan di Kawasan Gerai Muafakat Kampung Kiudang, Tutong, hari ini.

Hadir sama menyertai kempen tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

Kempen didahului dengan penerangan ringkas mengenai pentingnya menjaga kebersihan persekitaran kampung dan kawasan rumah yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah Tutong, Pengiran Dr. Sirajul Adli bin Pengiran Haji Jamaludin.

Dalam taklimat tersebut, beliau turut memberitahu bahawa statistik demam denggi semakin meningkat dan bagi mencegah penyakit-penyakit bawaan nyamuk itu, perlu ada kesedaran masyarakat tentang menjaga kebersihan alam sekitar.

Kempen kebersihan turut melibatkan penduduk Kampung Kiudang/Mungkom yang juga telah sama-sama membersihkan kawasan persekitaran rumah kediaman masing-masing.

Pemangku Pegawai Daerah Tutong ketika menghadiri kempen kebersihan tersebut.
Pemangku Pegawai Daerah Tutong ketika menghadiri kempen kebersihan tersebut.

Tujuan kempen adalah bagi meningkatkan kesedaran para penduduk kampung mengenai pentingnya kebersihan alam sekitar khususnya dalam sama-sama menjaga kebersihan rumah kediaman masing-masing terutamanya bagi mengelakkan pembiakan nyamuk yang boleh membawa kepada pelbagai penyakit.

Program kempen kebersihan ini akan dilarutkan ke kampung-kampung lain untuk sama-sama menjaga kebersihan persekitaran kampung yang bukan sahaja di kediaman masing-masing tetapi juga lokasi-lokasi kunjungan awam termasuk pembersihan longkang dan aliran anak-anak sungai.

Kempen berkenaan turut dihadiri oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Penghulu Mukim Kiudang, Ketua Kampung Kiudang/Mungkom, pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong, Pejabat Kesihatan Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei Cawangan Daerah Tutong dan Lamunin, Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Tutong, Jabatan Kerja Raya Daerah Tutong, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi Daerah Tutong, ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Kiudang/Mungkom dan para penduduk kampung.

ARTIKEL YANG SAMA