Jagalah kebersihan tempat awam

Jagalah kebersihan tempat awam

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Setakat ini bagi tahun 2016, sebanyak 21 denda kompaun telah dikeluarkan oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara di Bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Bab 12 (1) Penggal 30.

Daripada jumlah berkenaan, 19 denda kompaun dikeluarkan kepada syarikat, manakala dua lagi kepada individu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Jumlah ini juga termasuk denda yang dikeluarkan baru-baru ini, ke atas dua buah syarikat di Kampung Pengkalan Batu dan Salambigar kerana telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil iaitu melonggokkan bahan binaan di kawasan tanah kerajaan dan kawasan awam.

Antara kesalahan yang dikenakan kompaun kerana gagal menjaga kebersihan dan persekitaran awam.
Antara kesalahan yang dikenakan kompaun kerana gagal menjaga kebersihan dan persekitaran awam.

Sehubungan itu, Jabatan Daerah Brunei dan Muara melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan mengingatkan orang ramai supaya akan sentiasa peka dan menjaga kebersihan kawasan persekitaran awam khususnya kawasan-kawasan perniagaan dan tempat kunjungan orang ramai dengan tidak membuang sampah sarap atau pun melumpukkan mana-mana barang yang boleh mencemarkan kawasan persekitaran awam seperti kereta terbiar, bekas bahan binaan, besi-besi buruk, kotak-kotak dan sebagainya.

Orang ramai disarankan agar bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan alam sekitar di mana sahaja dan secara tidak langsung sama-sama menghindarkan risiko penyakit berjangkit daripada merebak.

Untuk pengetahuan orang ramai, menurut kenyataan itu lagi, jika didapati mana-mana orang awam melakukan kesalahan di bawah akta ini, tindakan undang-undang akan diambil dan dikenakan denda kompaun mengikut kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Bab 12 (1) Penggal 30.

ARTIKEL YANG SAMA