Jagielka harap dapat pikat Hodgson

Jagielka harap dapat pikat Hodgson

LONDON, 23 Mac (AFP) – Kapten Everton, Phil Jagielka mengakui terpaksa bertarung untuk mendapatkan tempat dalam skuad England ke Euro 2016.

Jagielka, 33, berkata dia percaya jurulatih Roy Hodgson sudah merancang tiga daripada empat pemain pertahanan yang akan membarisi skuad The Three Lions. Kali terakhir pemain pertahanan tengah itu tampil dalam perlawanan antarabangsa pada kelayakan Euro 2016 ketika menewaskan Lithuania pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, Jagielka kemudian dipinggirkan dua bulan akibat kecederaan yang membuatnya terlepas dua perlawanan persahabatan England menentang Perancis dan Sepanyol.

“Kami akan dapat tahu dalam dua perlawanan ini, jika tidak mungkin tiga perlawanan sebelum kejohanan bermula,” kata Jagielka, yang dipanggil menyertai perlawanan persahabatan menentang Jerman dan Belanda.

Jagielka masih mengharapkan untuk mendapat tempat dalam skuad Hodgson. – Reuters
Jagielka masih mengharapkan untuk mendapat tempat dalam skuad Hodgson. – Reuters

“Anda perlu tanya kepada Roy (tetapi) anda seakan sudah mempunyai Nathaniel Clyne, Gaz (Gary Cahill), Chris (Smalling) dan seorang lagi pertahanan kiri. “Kemungkinan sekali mereka akan diturunkan bersama Joe (Hart) yang mengawal gawang.

“Sudah pasti John (Stones) turut mahu kembali bermain, tetapi saya perlu berfikir saya juga mempunyai peluang.

“Saya tidak akan ke sana hanya untuk mencuci kasut orang lain dan membersihkan baju. Saya mahu ke sana untuk turut serta dalam perlawanan. “Saya tidak pasti di mana kedudukan saya sebenarnya.”