Jaguar Land Rover bina kilang di Slovakia

Jaguar Land Rover bina kilang di Slovakia

LONDON, 11 Dis (Reuters/AFP) – Pembuat kereta mewah Jaguar Land Rover (JLR) mengesahkannya hari ini ia akan membina sebuah kilang kereta di Slovakia, memulakan projek 1 bilion paun itu yang akan menjadi salah satu pelaburan langsung asing terbesar di negara Eropah tengah.

Syarikat itu, yang mengembangkan barisan model-model dan isi padunya, mengatakan pada Ogos ia berhasrat untuk membina sebuah kilang di bandar Nitra, barat Slovak dengan hasil pengeluaran tahunan kira-kira 300,000 buah kenderaan.

Kilang yang bernilai kira-kira 1.1 bilion paun (AS$1.67 bilion) dijangka akan mengeluarkan kereta pertamanya pada 2018, kata ketua pegawai eksekutif JLR, Ralf Speth.

“Jaguar Land Rover berasa teruja hari ini untuk mengalu-alukan Slovakia dalam keluarga kami,” katanya lagi.

Hari ini, JLR, yang dimiliki oleh Tata Motor Ltd, India mengatakan ia akan memulakan membina tapak itu tahun depan dengan sekitar 2,800 pekerjaan diwujudkan ketika pengeluaran meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif pembuat kereta mewah milik India, Jaguar Land Rover, Ralf Speth (kiri) bercakap selepas menandatangani kontrak pelaburan dengan Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico (kanan) bagi pembinaan kilang baru berhampiran Nitra, di pejabat kerajaan di Bratislava, Slovakia pada 11 Disember. – AFP
Ketua Pegawai Eksekutif pembuat kereta mewah milik India, Jaguar Land Rover, Ralf Speth (kiri) bercakap selepas menandatangani kontrak pelaburan dengan Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico (kanan) bagi pembinaan kilang baru berhampiran Nitra, di pejabat kerajaan di Bratislava, Slovakia pada 11 Disember. – AFP

Ia sudah memiliki sebuah kilang di China dan hampir siap membina sebuah kemudahan di Brazil sebagai sebahagian daripada pengembangan global.

Ia akan beroperasi di samping kilangnya di Castle Bromwich dan Solihull di bahagian tengah, dan Halewood di barat laut Britain, mengeluarkan model-model seperti kereta salun sport Jaguar XE dan Range Rover Evoque.

Volkswagen, Kia dan Peugeot Citroen sudah membina ratusan ribu model-model ini di Slovakia, yang mengatakan keahliannya dalam zon euro membantu merangsang JLR menonjol daripada negara jiran lain seperti Poland.

Satu sumber kesatuan perdagangan memberitahu Reuters awal tahun ini JLR sedang memutuskan antara empat negara tengah Eropah bagi pembinaan kilang itu.

JLR sedang meningkat pantas sejak ia dibeli oleh Tata India pada 2008 namun kini telah mengalami penurunan beberapa bulan kebelakangan akibat satu letupan di pelabuhan Tianjian China, yang memusnahkan ribuan kenderaannya, dan kejatuhan ketara dalam penjualan di China awal tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA