Jahitan labuci bentuk bunga raya terbesar dapat pengiktirafan MBOR

Jahitan labuci bentuk bunga raya terbesar dapat pengiktirafan MBOR

SERDANG, 26 Sept – Jahitan lebih 22,000 gram labuci oleh Arena Fashion and Design Institute (AFDI) membentuk bunga raya mencipta sejarah apabila disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai jahitan manik bunga raya terbesar.

Rekaan kreatif bersaiz 16 meter menggunakan jahitan manik tambour di atas kanvas jenis trapaulin yang diperkuatkan dengan kerangka besi dan aluminium itu dipamerkan kepada orang ramai sempena Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) 2016 dan Karnival serta Ekspo Kemahiran Kebangsaan (KEKK 2016) yang sedang berlangsung di Taman Ekspo Agro Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini. Disaksikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Mutalib, penyerahan sijil kepada Pengasas AFDI, Asfarena Samion itu dilakukan oleh wakil MBOR Lee Pooi Leng.

Asfarena berkata visi di sebalik ciptaan yang mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan dengan bantuan menjahit oleh kakitangan, guru dan pelajar AFDI itu bertujuan membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa rakyat Malaysia, khususnya tukang jahit berpotensi menghasilkan kerja seni yang berkualiti dan teliti.

Pengasas Arena Cipta Klasik Sdn Bhd Asfarena Samion (kiri) menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records untuk jahitan manik bunga raya terbesar Malaysia daripada Pengurus MBOR, Lee Pooi Cheng sempena ASEAN Skills Competition di MAEPS hari ini. – Bernama
Pengasas Arena Cipta Klasik Sdn Bhd Asfarena Samion (kiri) menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records untuk jahitan manik bunga raya terbesar Malaysia daripada Pengurus MBOR, Lee Pooi Cheng sempena ASEAN Skills Competition di MAEPS hari ini. – Bernama

Beliau yang juga Pengarah Arena Cipta Klasik Sdn Bhd, syarikat yang terbabit lebih 20 tahun dalam bidang jahitan berkata apa yang lebih membanggakan, rekaan bunga raya terbesar itu dijahit sepenuhnya oleh tukang jahit wanita.

Diharap pengiktirafan ini dapat memartabatkan lagi seni jahitan kraf yang kreatif, selain mampu membuka mata umum bahawa seni jahitan adalah sesuatu yang sangat subjektif, katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA