Jakel Defence System sasar pasaran Brunei

Jakel Defence System sasar pasaran Brunei

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) – Jakel Defence System Sdn Bhd, anak syarikat milik Jakel Trading Sdn Bhd, mengintai pasaran tekstil bagi industri pertahanan Brunei dalam usaha melebarkan lagi sayap perniagaannya di arena antarabangsa.

Pengarah Pembangunan Peniagaannya, Saiful Izhar Senawi berkata selain pakaian ketenteraan, syarikat itu berhasrat untuk membekalkan peralatan ketenteraan lain seperti topi hutan, baju hujan, beg galas dan rompi dalaman, ke pasaran Brunei.

“Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Sri Mohd Tawih bin Abdullah telah melawat tapak pameran Jakel Defence pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2016 (DSA) semalam untuk melihat koleksi kami yang lain.

“Kami dapat maklum balas yang memberangsangkan daripada beliau dan kami berharap dapat menyumbang kepada pembekalan ketenteraan untuk Brunei pula selepas ini,” katanya kepada Bernama.

Saiful Izhar berkata tahun ini menyaksikan penyertaan kali ketiga Jakel Defence pada DSA berikutan prospek perniagaan yang tinggi dalam permintaan tekstil ketenteraan.

Demontrasi solat di dalam peperangan oleh Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi acara pembukaan persembahan secara langsung demonstrasi sempena pembukaan hari pertama Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di luar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Isnin lalu. - Bernama
Demontrasi solat di dalam peperangan oleh Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi acara pembukaan persembahan secara langsung demonstrasi sempena pembukaan hari pertama Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di luar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Isnin lalu. – Bernama

Katanya berbanding penyertaan DSA sebelum ini, syarikat itu mendapat sambutan yang lebih menggalakkan pada edisi 2016.

Selain Brunei, Jakel Defence turut menerima permintaan yang menggalakkan dari negara lain seperti Timor-Leste, Sudan, dan Bosnia Herzegovina.

“Mereka turut menunjukkan minat untuk menjalin usaha sama bagi membekalkan pakaian ketenteraan negara masing-masing,” katanya.

Baru-baru ini, Saiful Izhar berkata Jakel Defence membekalkan pakaian ketenteraan tambahan sebanyak 2,000 unit ke Kementerian Pertahanan Maldives yang sebelum ini telah membuat tempahan sebanyak 10,000 unit.

Jakel Defence telah menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pertahanan Maldives sejak tahun lalu dengan membekalkan pakaian ketenteraan berkualiti tinggi yang sesuai dengan persekitaran tropikal negara kepulauan itu.

“Teknologi yang diadaptasi oleh Jakel Defence memastikan pakaian itu sesuai untuk dipakai dan tidak mudah luntur warna meskipun terdedah kepada air laut.

“Pakaian tentera itu juga telah didigitalisasi dalam bentuk pixel yang mampu menyukarkan pihak musuh mengesannya menggunakan gogal malam memandangkan peratusan penyamaran adalah lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Saiful Izhar berkata sehingga kini, Jakel Defence telah menandatangani kontrak bernilai RM136 juta dengan kerajaan Malaysia bagi membekalkan pakaian ketenteraan kepada Tentera Darat Malaysia.