JAKIM adakan solat hajat

JAKIM adakan solat hajat

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) – Semua Masjid di Wilayah Persekutuan akan mengadakan solat hajat dan munajat bermula hari ini bagi mendoakan keselamatan penduduk Sabah agar kejadian gempa bumi tidak berulang.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata solat berkenaan akan diadakan di Masjid Negara; Masjid Putra, Putrajaya; dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya serta seluruh masjid lain dan surau.

“Saya menyeru supaya golongan alim ulama, pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat, masjid dan surau di negara ini turut mendoakan keselamatan diri dan harta benda, kesihatan yang baik, kekuatan iman dan diberikan perlindungan kepada seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga menyeru agar semua pihak mendoakan supaya semua petugas keselamatan dan seluruh rakyat Sabah dan Malaysia, yang berada di kawasan terlibat terpelihara daripada segala musibah, diberikan kekuatan iman, mental dan fizikal.

Katanya Jakim juga turut melancarkan kutipan derma khas pada Jumaat ini (12 Jun) untuk membantu mangsa gempa bumi dan ia akan disalurkan oleh Unit Bantuan Musibah dan Bencana Bahagian Dakwah kepada mangsa serta masjid, yang rosak akibat gempa bumi tersebut.