JAKS dapat biaya AS$1.402 b untuk loji kuasa Vietnam

JAKS dapat biaya AS$1.402 b untuk loji kuasa Vietnam

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) – JAKS Resources Bhd serta rakan kongsi, China Power Engineering Consulting Group Co Ltd (CPECC) telah menandatangani perjanjian kewangan bernilai AS$1.402 bilion dengan pembiaya prinsipal untuk projek loji kuasa terma menggunakan arang batu sebagai bahan api (projek IPP) di Vietnam.

JAKS dalam satu kenyataan, berkata perjanjian itu merupakan sebahagian daripada keperluan untuk membiayai projek IPP 2x600MW dengan jangka hayat 25 tahun bernilai AS$1.87 bilion, berkonsepkan Bina-Kendali-Pindah (BOT) di Phuc Commune, daerah Kinh Mon di Wilayah Hai Duong.

Pembiaya prinsipalnya adalah Industrial and Commercial Bank of China, China Construction Bank Corporation dan Export-Import Bank of China.

“Projek IPP itu akan dibiayai pada struktur modal yang dicadangkan iaitu kira-kira 75 peratus hutang dan 25 peratus ekuiti,” kata JAKS.

Anak syarikat JAKS, JAKS Hai Duong Power Co Ltd, yang terlibat dalam projek tersebut juga telah menandatangani perjanjian kemudahan pinjaman pemegang saham dengan unit CPECC, iaitu China Power Engineering Consulting Group (Hong Kong) Investment Co Ltd bagi menerima kemudahan pinjaman berjangka untuk jumlah tidak lebih AS$1.402 bilion, mewakili 75 peratus daripada jumlah kos projek berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA