Jalan ditutup di Daerah Tutong

Jalan ditutup di Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 16 Ogos – Bersempena Majlis Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong pada 18 Ogos ini, di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, beberapa batang jalan raya di daerah ini akan ditutup.

Antara jalan-jalan yang akan ditutup termasuk sepanjang Jalan Sungai Basong dari Simpang 3 Jalan Sungai Besar iaitu simpang menuju ke Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah sehingga Simpang 59 iaitu berdekatan dengan (Telekom Brunei Berhad) TelBru.

Jalan-jalan tersebut akan ditutup bagi pemandu-pemandu yang tidak mempunyai pas khas bermula jam 8 pagi hingga acara selesai dijalankan.

Jalan dari Simpang 3 Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong sehingga pusing keliling iaitu berdekatan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka menuju ke Kompleks Sukan Tutong akan ditutup bagi para pemandu yang tidak mempunyai pas khas bermula 6 pagi hingga acara selesai.

Pemangku Pegawai Polis Lalu Lintas Daerah Tutong, Inspektor Kanan Shamsulnahar bin Haji Idris semasa sidang akhbar mengenai penutupan jalan itu, hari ini, menasihatkan orang ramai yang tidak mempunyai pas supaya menggunakan jalan-jalan alternatif dan mematuhi arahan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei yang ditugaskan untuk mengawal jalan-jalan yang ditutup.

Inspektor Kanan Shamsulnahar menyampaikan sidang akhbar mengenai penutupan jalan bagi acara ramah mesra di Daerah Tutong pada Selasa ini.
Inspektor Kanan Shamsulnahar menyampaikan sidang akhbar mengenai penutupan jalan bagi acara ramah mesra di Daerah Tutong pada Selasa ini.

Tambah beliau, jemputan-jemputan khas yang akan hadir nanti juga diingatkan untuk menunjukkan pas khas kenderaan mereka yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tertinggi sambutan majlis ini bagi memudahkan anggota polis yang bertugas memberi laluan kepada mereka untuk meletakkan kenderaan mengikut zon yang dinyatakan pada pas tersebut.

Jemputan-jemputan khas juga diingatkan agar hadir awal sebelum jam 8 pagi sebagai langkah keselamatan orang ramai yang menghadiri acara tersebut.

Menjelaskan mengenai pas-pas khas yang dikeluarkan mengikut zon-zon, Inspektor Kanan Shamsulnahar memberitahu, bagi pemegang pas khas letak kereta VIP, mereka bolehlah meletakkan kereta di kawasan Zon VIP bermula pusing keliling Dewan Bahasa dan Pustaka sehingga simpang keluar Kompleks Sukan Tutong (dari belakang).

Pemegang pas letak kereta Zon A bolehlah meletakkan kereta di kawasan belakang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong; pas Zon B di kawasan Tapak Tamu lama berdekatan Taman Seri Warisan Emas dan Zon C di belakang pentas persembahan malam berdekatan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong.

Beliau menasihatkan orang ramai yang hadir di acara ramah mesra itu nanti supaya meninggalkan kereta di tempat-tempat yang selamat serta tidak meninggalkan barang-barang berharga yang boleh menjadi daya tarikan penjenayah.

Selain itu, orang ramai juga diingatkan untuk memastikan rumah yang ditinggalkan dalam keadaan selamat dan berkunci bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku ketika sedang menghadiri Majlis Ramah Mesra sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-69 Tahun itu. Walau bagaimanapun pihak polis akan sentiasa meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan perumahan dan tempat-tempat yang sering berlaku kegiatan jenayah.

Orang ramai juga diseru agar sentiasa memberi bantuan dan kerjasama dengan menyalurkan apa jua maklumat kegiatan jenayah di negara ini kepada Pasukan Polis Diraja Brunei sama ada berhubung terus ke balai-balai polis yang berdekatan atau menghubungi talian 993.

Inspektor Kanan Shamsulnahar juga menyarankan kepada orang ramai agar tidak leka dan meningkatkan kewaspadaan bagi sama-sama meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA