Jalan Jepun yang roboh dibuka semula

Jalan Jepun yang roboh dibuka semula

TOKYO, 15 Nov – Sebuah bandar Jepun hari ini membuka semula jalan sibuk yang roboh menjadi lubang benam besar, dengan usaha pekerja yang bertungkus lumus siang malam selama seminggu menerima pujian di media sosial.

Lubang benam besar itu, berukuran 30 meter lebar dan 15 meter dalam, muncul pada Selasa lalu di daerah perniagaan yang sibuk di barat daya bandar Fukuoka, menelan sebahagian dari jalan lima lorong itu.

Lubang benam itu, jelasnya dicetuskan oleh pembinaan jalan bawah di kawasan itu, telah mendedahkan tiang sokongan bangunan berhampiran persimpangan lalu lintas.

Pekerja Jepun bekerja tanpa henti selama seminggu, mencurah sejumlah besar simen basah dan pasir ke dalam lubang besar dan membaiki talian elektrik, gas dan air yang telah terhenti selepas kejadian itu.

Jalan tersebut dibuka semula pada pukul 5 pagi hari ini, kata Datuk Bandar Fukuoka Soichiro Takashima dalam satu kenyataan, seminggu selepas tanah mulai tenggelam.

“Kami meminta maaf kerana menimbulkan gangguan besar,” kata Takashima, dengan mengatakan satu pengharaman ke atas kemasukan ke bangunan berhampiran telah dibatalkan.

Tidak ada sesiapa yang cedera dalam kemalangan di Fukuoka, bandar terbesar di selatan pulau utama Kyushu.

Ramai orang dalam media sosial menyatakan rasa kagum dengan kerja-kerja pemulihan yang cepat berkenaan.

“Saya terkejut jalan raya telah dibuka dalam seminggu,” kata seorang pengguna Twitter.

“Mengagumkan. Ia amat cepat,” kata seorang pengguna lain. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA