Jalan Kanowit-Kapit cetus perubahan

Jalan Kanowit-Kapit cetus perubahan

KAPIT, 3 Mei (Bernama) – Lebuhraya Pan Borneo mungkin ‘ibu kepada segala’ projek pembinaan jalan raya di negeri ini, namun terdapat satu jalan raya yang sama penting dan dinanti-nantikan rakyat di Kapit, Song, Kanowit dan Sibu.

Bernilai lebih RM711 juta, Jalan Kanowit-Kapit sepanjang 83km itu dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Jalan berkenaan mungkin kecil berbanding Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak bernilai RM16 bilion sepanjang 1,089km, namun Jalan Kanowit-Kapit adalah laluan penting bagi mendedahkan kawasan sungai dan pedalaman yang terbuka luas itu kepada pelbagai aktiviti.

“Ia adalah jalan dipenuhi dengan pelbagai peluang, dan memberi impak yang besar serta pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi di wilayah ini,” kata Anggota Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi, yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pembinaan jalan berkenaan yang dibahagikan kepada beberapa pakej, bermula pada Jun 2011, dan setakat ini sudah 55 peratus siap.

Alexander berkata jalan itu akan membuka tanah-tanah di daerah Kapit, Song dan Kanowit, serta pedalaman Kapit dari Baleh ke Mujong, termasuk tanah rendah Sungai Tunoh yang dikenal pasti sebagai kawasan penanaman padi berskala besar.

Selain meningkatkan akses ke rumah panjang dan penempatan penduduk, ia akan membolehkan rakyat di kawasan tersebut mendapat kemudahan seperti bekalan elektrik dan air bersih pada masa hadapan, katanya.