Jalan penghubung Jerudong-Tungku Fasa 3, dibuka

Jalan penghubung Jerudong-Tungku Fasa 3, dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai Projek pembinaan Jalan Penghubung Jerudong – Tungku Fasa 3 sepanjang lebih kurang 5.5km kini telah pun siap dibina dan dibuka kepada lalu lintas hari ini (5 Julai 2016).

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataannya menjelaskan, projek yang bernilai $9.64 juta ini merupakan salah satu projek di bawah RKN10 dan kesinambungan fasa kedua yang bertujuan untuk menambah kapasiti serta menyediakan laluan alternatif yang menghubungkan dua jalan utama iaitu Jalan Jerudong, Simpang 396 dan Simpang 324, Jalan Penghubung Rimba Utara.

Projek ini mula dibina pada Oktober 2014 dan dilaksanakan oleh pemborong tempatan,Jurum Sdn Bhd.

Skop utama projek Fasa 3 ini termasuk kerja-kerja penurapan asfalt sepanjang 5.5km Jalan Penghubung Rimba Utara bermula dari pusing keliling Kg Tungku hingga Jejambat di Lebuh Raya Tungku; menaik taraf serta melebarkan Jalan Penghubung Rimba Utara yang sedia ada; serta pemasangan lampu isyarat di persimpangan-persimpangan utama di sepanjang Jalan Penghubung Rimba Utara untuk meningkatkan mutu keselamatan para pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Dengan siapnya projek ini, menurut kenyataan itu lagi, ia dijangkakan dapat mengurangkan masalah kesesakan di jalan-jalan utama seperti Jalan Gadong kerana sebahagian jumlah lalu lintas yang datangnya dari arah Lebuh Raya Muara-Tutong melalui Jalan Jerudong akan menggunakan jalan pintas ini untuk menuju ke pusat bandar dan sekitarnya.

Jalan penghubung ini juga akan menghubungkan persimpangan utama iaitu persimpangan Jalan Gadong /Jalan Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah untuk menghala ke pusat bandar dan sekitarnya.

Dalam pada itu, JKR dalam kenyataannya juga menasihatkan semua pengguna jalan raya terutama yang sering menggunakan jalan penghubung berkenaan untuk memandu dengan berhati-hati, bertolak ansur dan mematuhi tanda-tanda amaran serta arahan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan bersama.

ARTIKEL YANG SAMA