Jalan sekitar BSB akan dikawal selia

Jalan sekitar BSB akan dikawal selia

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Beberapa batang jalan di sekitar ibu negara akan dikawal selia sempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara akan berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada Ahad ini (24 Julai).

Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebagai persiapan, beberapa jalan utama di BSB akan dikawal selia secara berperingkat bermula jam 6:30 pagi sehingga selesai, tertakluk kepada sebarang perubahan.

Jalan-jalan dan persimpangan yang dikawal selia bagi lencongan dan penutupan termasuk lampu isyarat Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) / Jalan Susur naik ke Lebuh Raya Sultan Haji Hassanal Bolkiah, iaitu berhadapan dengan Bangunan Hotel Ba’adiah; lampu isyarat persimpangan tiga Jalan RIPAS / Lebuh Raya Sultan Haji Hassanal Bolkiah @ berdekatan Hopsital RIPAS; lampu isyarat persimpangan tiga Jalan RIPAS / Lebuh Raya Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu berdekatan Mahkamah Besar; lampu isyarat persimpangan tiga Jalan RIPAS / Jalan Dato Hj Basir / Jalan SOAS @ berhadapan dengan Balai Bomba BSB.

Selain itu, lampu isyarat persimpangan empat Jalan Dato Haji Basir / Jalan Kumbang Pasang / Jalan Jame’ ‘Asr / Jalan Simpang; lampu Isyarat persimpangan tiga Jalan Tasek / Jalan Bendahara @ berdekatan dengan Sekolah Menengah Chung Hua, termasuklah Kawasan Lampu Isyarat Jalan Jawatan Dalam / Jalan Kebangsaan, Jalan Sekolah / Jalan Tasek/ Jalan TV Besar; lampu isyarat persimpangan empat Jalan SOAS / Jalan Stoney / Jalan Dato Isa; lampu Isyarat Jalan Kianggeh @ berdekatan Hotel Jublee; lampu isyarat Jalan Elizabeth 2 / Jalan Kianggeh @ berdekatan dengan To Kong Cina; dan lampu isyarat Jalan Residency / Jalan Mc Arthur.

Manakala itu, paling penting sekali untuk diambil perhatian adalah kawalan ketat di beberapa jalan utama iaitu sepanjang Jalan Mc Arthur / Jalan SOAS / Kawasan Lampu Isyarat Jalan Roberts; sepanjang Jalan Elizabeth 2; sepanjang Jalan Sumbiling (Jalan menuju ke Balai Polis BSB); sepanjang Jalan Stoney; sepanjang Jalan SOAS; sepanjang Jalan Pemancha; dan sepanjang Jalan Residency menghala ke Kota Batu (dekat simpang jalan ke Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan).

Selain itu, bagi zon jalan raya dan tempat-tempat letak kereta yang perlu dikosongkan sehari awal sebelum upacara bermula ialah kawasan letak kereta Madrasah; sepanjang Jalan Kianggeh /Jalan Mc Arthur dan Jalan SOAS; Jalan Stoney / Jalan Sumbiling / Jalan Pehin Dato Isa / Jalan Pengiran Shahbandar / Jalan Istana Darussalam; dan yang paling penting ialah Sekitar Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Ini adalah untuk memberi ruang dan keselesaan tanpa sebarang halangan bagi majlis ramah mesra dijalankan dan penggunaan kawasan letak kereta untuk letak kereta VIP/VVIP.

Bagi tempat letak kereta para peserta dan orang ramai, beberapa kawasan telah ditetapkan iaitu di sepanjang Jalan Kianggeh menuju ke Hotel Jublee terus ke Jalan Subok dan sepanjang Jalan Residency menuju ke Bangunan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan terus ke Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Jalan Subok.

Namun, jika hendak datang dan pergi cepat, orang ramai tidak digalakkan untuk meletakkan kenderaan di tempat-tempat tersebut. Ini kerana jalan-jalan tersebut akan dipenuhi dengan kenderaan dan tidak memungkinkan adanya laluan tembus keluar menuju ke BSB.

Pasukan Polis Diraja Brunei dalam kenyataannya, sekali lagi ingin mengingatkan para peserta dan orang awam untuk menggunakan kaedah berkongsi kenderaan ataupun menggunakan bas ulang alik yang disediakan oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Sehubungan ini, pihak polis akan mengambil tindakan dengan memindah mana-mana kenderaan yang didapati diletakan pada tempat-tempat yang disebutkan berkenaan.

Pihak polis juga tidak akan bertanggungjawab atas kerosakan yang berlaku ketika proses pemindahan kenderaan yang diletakan di zon-zon larangan bagi peletakan kenderaan.

Bagi penurunan para peserta yang menggunakan bas, empat lokasi telah dikenal pasti iaitu di Terminal Bas, Jalan Cator; Jalan Bendahara; Jalan Dato Isa; dan Jalan Sumbiling.

Guru-guru bertugas yang menjaga anak-anak murid, juga diingatkan agar lebih bekerjasama dan mengambil penuh tanggungjawab terhadap keselamatan penurunan anak-anak murid di tempat-tempat yang dikhaskan.

Orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi arahan anggota polis trafik yang bertugas serta bertimbang rasa kepada pengguna jalan raya yang lain serta dinasihatkan untuk menggunakan jalan-jalan alternatif jika perlu untuk melalui Bandar Seri Begawan.

ARTIKEL YANG SAMA