Jalan Sultan akan ditutup mulai 13 Sept.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Jawatankuasa Sektoral Perarakan Jubli Emas memaklumkan bahawa sebahagian Jalan Sultan Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan akan ditutup pada Rabu, 13 September mulai jam 7 pagi sehingga Jumaat 6 Oktober untuk memberi ruang kepada kerja-kerja pemasangan Grandstand Muhibbah bagi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Jawatankuasa berkenaan dalam satu kenyataan hari ini berkata, bahagian jalan yang akan ditutup ialah hala daripada pusing keliling kecil (round about) Jalan McArthur bermula dari hadapan Bangunan Teck Guan Plaza sehinggalah ke lampu isyarat simpang empat Jalan Pemancha hadapan Bangunan Maya Puri.

Orang ramai dan pengguna-pengguna jalan raya adalah dinasihatkan supaya mematuhi papan-papan tanda dan membuat perancangan laluan terlebih dahulu jika hendak menghala ke kawasan tersebut; mengosongkan kenderaan dari tempat-tempat tersebut dan tidak meletakkan kenderaan di kawasan-kawasan atau jalan yang dinyatakan sebelum tarikh dan masa bermula penutupan jalan agar kerja-kerja pemasangan Grandstand Muhibbah berjalan dengan lancar.