Jalankan kewajipan

Jalankan kewajipan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan mereka yang dilantik atau terpilih menjadi pemimpin adalah berkewajipan untuk menjalankan keadilan.

Titah Baginda, tempat tumpahnya keadilan ialah ke atas rakyat bukan kepada diri sendiri.

“Adapun untuk kepentingan diri sendiri itu bukanlah keadilan tapi kezaliman. Sebab itulah kadang-kadang bersedia mendengar suara orang di bawah atau menerima idea-idea yang baik atau keluhan atau rintihan mereka dapat dianggap sebagai ciri melaksanakan keadilan.

“Dalam pada itu, mesti pula diingat bawah tafsiran keadilan itu bukanlah mengikutkan kata hati tapi mesti berpandukan lunas-lunas yang betul daripada ugama, undang-undang dan etika.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian semasa berkenan mengumumkan rombakan kabinet yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran Televisyen dan Radio, Radio Televisyen Brunei, hari ini.

Titah Baginda, Negara Brunei Darussalam telah dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem pemerintahannya yang tersendiri.

“Sistem pemerintah kita ini, Alhamdulillah telah terbukti menghasilkan pembangunan dan berjaya mencipta keamanan, perpaduan dan kemakmuran.

“Apakah yang lebih bermakna dan lebih dihajati oleh semua orang, kalau bukan keamanan, perpaduan dan kemakmuran.”

Menurut Baginda, kita telah pun menyaksikan berapa banyak negara di dunia ini, tidak berpeluang menikmati keamanan, perpaduan dan kemakmuran itu kerana faktor-faktor tertentu tapi kita Alhamdulillah telah ditakdirkan dapat mengecapnya tanpa sebarang masalah.

Tinggal saja lagi, apakah kita mampu untuk terus memelihara dan mengekalkan. Di sinilah persoalan itu, ugama kita telah memberi petunjuk bahawa nikmat itu boleh kekal tapi masih saja tertakluk kepada pembawaan kita sendiri, tegas Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, Allah mengurniakan nikmat sementara kita berkewajipan mensyukurinya. Syukur itulah pemangkin segala nikmat dan keberkatan. Tanpa syukur, nikmat akan hakis tidak dapat bertahan lama.

“Bagaimanakah cara untuk bersyukur itu? Di samping mengucapkannya dengan lidah, kita juga dituntut untuk bersyukur melalui urus tadbir dalam kehidupan. Kerana itulah kita memerlukan kerajaan dan dalam kerajaan itu pula, terdapat jentera yang terdiri dari para pemimpin dan pegawai-pegawai serta kakitangan di bawah mereka.

“Di tangan merekalah terutama para pemimpin, kewajipan untuk membawa negara ini menjalani amalan syukur iaitu melalui pimpinan dan urus tadbir mereka dalam kerajaan,” titah Baginda lagi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah, salah satu daripada ciri bersyukur itu ialah dengan melaksanakan keadilan, kerana keadilan adalah segala-galanya, tanpa keadilan semua kebajikan akan jauh atau menarik diri daripada kita. Selain itu, tambah Baginda lagi, turut perlu difahami bahawa kabinet adalah ibarat sebuah perahu dan para menteri pula adalah pekayuh-pekayuhnya.

Sebagai pekayuh, mereka adalah satu pasukan dan berperanan untuk pasukan bukan untuk diri masing-masing.

Kerana itu, walau berlainan kementerian namun mereka tetap di dalam satu pasukan yang mempunyai satu matlamat yang sama iaitu untuk memakmurkan negara. Sebagai sifat satu pasukan mereka diperlukan supaya turut menyumbang atau sekurang-kurangnya menyokong apa juga gagasan atau rancangan yang baik bagi sesebuah kementerian itu, semata-mata bagi kebaikan negara.

“Beta berharap, barisan pemimpin akan datang tidak akan mengabaikan etika berpasukan serta juga dikehendaki serta bijak membuat perhitungan atau tafsiran mengenai sesuatu perkara yang ada kaitan dengan kerajaan dengan negara dan kerajaan.

“Dengan bertawakal pada Allah serta memohon petunjukNya maka inilah, Beta umumkan rombakan keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan beberapa lantikan lain.”

ARTIKEL YANG SAMA