Jalanraya dipulih semula

Jalanraya dipulih semula

PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) – Lapan jalan raya di Sabah yang dilaporkan terjejas akibat gempa bumi yang melanda Ranau pada Jumaat telah dibaiki, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata kerja membaiki jalan raya yang mengalami kerosakan itu dilakukan pada hari sama gempa berlaku.

Berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah, jalan-jalan yang terjejas adalah satu jalan raya persekutuan di Ranau dan tujuh jalan raya negeri iaitu masing-masing dua di Tuaran dan Ranau serta tiga di Kota Belud, katanya.

“Tiada penutupan jalan raya dibuat kecuali pada hari kejadian sahaja, dan jalan-jalan berkenaan boleh dilalui seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan Persidangan Bandar-bandar Pelancongan Global 2015 di sini hari ini.

Katanya sebuah jambatan iaitu Jambatan Kihunut, Jalan Kibas Mohinboyun turut dilaporkan rosak dan pihak JKR Ranau sedang melakukan pemeriksaan mengenainya dari semasa ke semasa.

Rosnah berkata keputusan sama ada bangunan yang terjejas akibat gempa bumi perlu dibaiki atau dibina baharu, bergantung kepada penilaian yang dilakukan oleh pakar forensik kementerian itu.

Semalam, Fadillah memaklumkan sekumpulan pakar forensik daripada kementeriannya dihantar ke Ranau bagi mengenal pasti tahap keselamatan struktur bangunan awam yang terjejas akibat gempa bumi pada Jumaat lepas.

Setakat ini 16 orang disahkan terkorban, manakala dua lagi masih hilang dalam gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat.