Jalin kerjasama kembangkan industri perabot Sarawak

Jalin kerjasama kembangkan industri perabot Sarawak

KOTA SAMARAHAN, 18 Julai – Pemain industri perkayuan Sarawak khususnya industri perabot disaran menjalin kerjasama dengan syarikat peneraju utama untuk berkembang dengan lebih baik

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Sarawak kaya dengan sumber semula jadi tempatan dan menerusi kerjasama dengan syarikat peneraju utama pemain industri, ia dapat menghasilkan perabot berdaya saing di pasaran eksport.

“Untuk mengembangkan industri perkayuan dan perabot ini kita memerlukan ‘anchor company’ yang mempunyai reputasi tinggi untuk melabur.

“Kolaborasi pelabur-pelabur dengan mereka yang terlibat dalam industri perabot di negeri ini akan dapat manfaat seterusnya membawa jenama tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Kursi PUSAKA antara Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di sini Isnin.

Turut hadir Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Pengurus Besar PUSAKA Datuk Sarudu Hoklai.

Mengulas mengenai MOA tersebut, Awang Tengah berkata kerjasama itu bertepatan dengan hasrat kerajaan supaya institut pengajian tinggi lebih terdedah dan terlibat secara langsung dengan pihak industri.

“Melalui usaha kolaborasi ini, penyelidikan akan menghasilkan serta meningkatkan daya pengeluaran dan saingan pihak industri tempatan ke pasaran global,” katanya.

Mohamad Kadim dalam ucapannya berkata melalui kerjasama tersebut, Unimas berhasrat untuk menyumbang melalui penyelidikan dan kepakaran berdasarkan skop terma rujukan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dalam aspek reka bentuk perabot berasaskan kayu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA