Jalin perkongsian pintar dengan ASEAN

Jalin perkongsian pintar dengan ASEAN

BANGI, 15 Okt – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mempergiat usaha menjalin perkongsian pintar dan perkongsian perniagaan dengan negara ASEAN dan negara rakan ASEAN dalam bidang penerangan, telekomunikasi serta teknologi maklumat, sebagai usaha mempromosikan ASEAN.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata usaha kementerian termasuk menerusi Jabatan Penerangan, akan bekerjasama dalam bidang pendigitalan buku dan mewujudkan ‘Internet Protocol Television’ (IPTV) bagi menawarkan siaran televisyen dalam talian.

Menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula, katanya pertukaran berita, penerbitan program sukan dan dokumentari, penerbitan animasi dan filem bercirikan budaya negara masing-masing akan diberi nafas baharu agar lebih interaktif serta capaian lebih luas.

Kementerian juga merancang mengadakan kerjasama strategik dengan China, yang merupakan rakan dialog ASEAN, bagi penganjuran bersama Festival Filem dan Televisyen ASEAN-China, katanya pada majlis Sambutan Hari ASEAN Ke-48 anjuran bersama Jabatan Penerangan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM Datuk Che Azemi Haron. Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Sharifah Zarah berkata Malaysia juga komited dalam penyediaan draf rangka Pelan Induk ICT ASEAN (2016-2020) yang dijangka dilancarkan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (Telmin) ke-15, November ini.

Selain menyumbang AS$500,000 bagi Tabung ICT ASEAN, kementerian juga bersetuju melaksanakan dua projek iaitu ‘Roadmap To Increase Broadband Capacity in ASEAN’ fasa kedua dan ‘ASEAN Network Security Action Council’, katanya.

“KKMM selaku Pengerusi ASEAN Committee on Culture and Information (ASEAN-COCI) diamanahkan untuk menjayakan beberapa projek berimpak tinggi, antaranya ‘ASEAN Editors Dialogue’ dan ‘Colours of ASEAN Second Series’.

Sambutan Hari ASEAN ke-48 bertemakan ‘Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita” juga bertujuan untuk meluaskan pengetahuan skop kerjasama dalam ASEAN dan memberi kesedaran tentang peranan masyarakat dalam menyokong usaha kerajaan memantapkan hubungan diplomatik dengan negara jiran.

Antara pengisian sambutan kali ini termasuk pameran berkaitan ASEAN, Forum ASEAN, kuiz ASEAN dan CHALK (chat, listen & knowledge) serta edaran bahan informasi berkaitan ASEAN kepada orang ramai. – Bernama