Jalin perpaduan ahli persatuan

Jalin perpaduan ahli persatuan

Oleh Salawati Haji Yahya, Pg Fairol RMF & Hamdanajib Haji Domeng

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Sambutan Hari Raya Aidilfitri kini memasuki minggu terakhir bulan Syawal, namun kemeriahannya masih hangat dirasakan dengan majlis-majlis sambutan diadakan oleh pelbagai pihak termasuk persatuan-persatuan sebagai pelantar untuk mengeratkan silaturahim sesama ahli.

Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB) adalah antara yang mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi ahli-ahlinya yang diselajurkan dengan penyampaian sijil lantikan penaung PKTLB, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Pusat Pembangunan Belia, di sini, itu menyaksikan Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Rosli bin Pengiran Haji Chuchu menandatangani pelantikan sebagai Penaung PKTLB sambil disaksikan oleh Yang DiPertua PKTLB, Haji Jumat bin Haji Taha.

Haji Jumat dalam ucapannya antara lain memberitahu, pada tahun ini sebanyak 121 buah keluarga di negara ini menerima agihan bantuan dalam program Titian Amal yang dilaksanakan oleh PKTLB sepanjang bulan Ramadan.

“Program ini amat bersesuaian dengan misi dan visi persatuan ini yang bersedia menolong orang-orang yang ditimpa kesusahan dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Kol (B) Pengiran Dato Paduka Haji Rosli memasang pelekat kereta pengenalan PKTLB.
Kol (B) Pengiran Dato Paduka Haji Rosli memasang pelekat kereta pengenalan PKTLB.
Antara yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya PKTLB di Dewan Pusat Pembangunan Belia di ibu negara.
Antara yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya PKTLB di Dewan Pusat Pembangunan Belia di ibu negara.

Beliau seterusnya mengingatkan ahli-ahli PKTLB supaya jangan berlebih-lebihan mengubah suai kereta kerana mereka juga tidak terlepas daripada undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkenaan.

Di majlis itu, Kol (Bersara) Pengiran Dato Paduka Haji Rosli menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli-ahli persatuan dan seterusnya memasang Pelekat Kereta Pengenalan PKTLB.

Dalam pada itu, Persatuan Masyarakat Indonesia di Brunei Darussalam (PERMAI), hari ini, menganjurkan “Halal bi Halal’ atau Rumah Terbuka versi Indonesia di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Lebih 600 orang menghadiri rumah terbuka tersebut, yang terdiri daripada masyarakat Indonesia di Brunei Darussalam berserta para jemputan.

Turut hadir ialah Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nurul Qomar.

Puan Yang Terutama Nurul Qomar bergambar ramai di majlis Rumah Rerbuka PERMAI.
Puan Yang Terutama Nurul Qomar bergambar ramai di majlis Rumah Rerbuka PERMAI.
Antara yang menghadiri rumah terbuka PERMAI di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.
Antara yang menghadiri rumah terbuka PERMAI di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Rumah terbuka ini dianjurkan oleh ahli keluarga PERMAI dengan tujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara ahli-ahli dan saudara di Brunei di samping itu menyambut hari kemenangan bagi yang beragama Islam.

Di samping disajikan hidangan makanan dan minuman, majlis turut diserikan dengan bacaan Tilawah Al-Quran, persembahan Nasyid, nyanyian dan kebudayaan.

Sementara itu, lebih 100 ahli jawatankuasa Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Serba Guna Pusat Belia, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Di-Pertua Persatuan PERBEKAL, Pengiran Nordin bin Pengiran Haji Mahmud bersama Naib Yang Dipertua PERBEKAL, Pengiran Jofri bin Pengiran Haji Zaidi.

Menurut Pengiran Jofri, majlis ini diadakan setiap tahun sebagai tempat berhimpun dan mengeratkan silaturahim ahli-ahli, yang mana tahun ini mereka telah mengundang Persatuan Belia Belait (PEMBELA) dari Daerah Belait untuk sama-sama menyambut dan memeriahkan lagi sambutan Hari Raya.

PERBEKAL dan PEMBELA, baru-baru ini, juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalankan aktiviti-aktiviti bersama seperti yang telah dijalankan sebelum ini iaitu aktiviti mempelajari mengenai makam dan pertahanan diri.

“Di masa akan datang persatuan PERBEKAL juga akan menganjurkan perlawanan bola sepak presiden, ekspo PERBEKAL pada bulan Disember ini dan Mesyuarat Pelantikan Ahli Jawatankuasa baru PERBEKAL bagi tahun 2016,” kata Pengiran Jofri.

Majlis sambutan berkenaan diserikan dengan persembahan nyanyian “Menjelang Hari Raya” dan “Selamat Hari Raya” yang diikuti persembahan daripada PEMBELA dengan nyanyian “Dendang Perantau”.

Ia kemudian diakhiri dengan penyampaian derma kepada lima orang anak yatim ahli PERBEKAL dan cabutan bertuah bagi para jemputan.

Pengiran Nordin (tiga dari kiri) hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Sambutan Hari Raya PERBEKAL.
Pengiran Nordin (tiga dari kiri) hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Sambutan Hari Raya PERBEKAL.
Gambar ramai di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PEKIRA.
Gambar ramai di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PEKIRA.

Turut mengadakan majlis sambutan hari ini ialah Persatuan Bekas Kakitangan Kerajaan (PEKIRA) khusus bagi ahli-ahlinya serta keluarga, yang berlangsung di sebuah restoran di Kiulap, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang DiPertua PEKIRA, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Dewa Pahlawan Dato Paduka Haji Dani bin Haji brahim.

Di samping menikmati pelbagai hidangan yang disajikan, ahli-ahli PEKIRA dan keluarga mereka turut dihiburkan dengan cabutan bertuah dan deklemasi puisi serta sajak.

ARTIKEL YANG SAMA