Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Jalin silaturahim dengan ucapan salam

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Memberi salam atau ucapan penghormatan yang berbentuk doa ditujukan kepada sesama Muslim sama ada yang dikenali atau tidak adalah amalan yang mulia dan sangat digalakkan dalam agama.

    Ini menunjukkan betapa manis dan murni agama Islam dalam menghubungkan persaudaraan sesama Islam melalui pengucapan salam.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini bertajuk ‘Keutamaan Memberi Salam’ menjelaskan, walaupun ucapan salam itu pendek, tapi isinya dan maksudnya adalah doa bagi mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan.

    Agama Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

    “Menjaga hubungan dengan Allah itu dengan cara beribadah mentaati suruhanNya dan menjauhi laranganNya manakala menjaga hubungan dengan manusia pula dengan melaksanakan kewajiban dan menunaikan hak sesama Muslim dan salah satu hak sesama Muslim dengan menyebarkan salam,” tambahnya.

    Khatib seterusnya menjelaskan, hukum memberi atau mengucapkan salam itu sunat manakala menjawab hukum adalah wajib.

    Dengan mengucapkan salam ke atas seseorang, kita akan memperoleh banyak pahala dan ganjaran.

    Sesungguhnya setiap ucapan salam itu mempunyai nilai pahala yang berbeza-beza seperti yang diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Baginda.

    Walaupun penyebaran salam itu sangat dituntut, akan tetapi ada tempat dan ketikanya kita dimakruhkan untuk mengucapkannya seperti memberi salam kepada orang yang sedang buang air; orang yang sedang tidur atau mengantuk; orang sedang azan, iqamat dan sembahyang; orang yang makan dan makanan ada dalam mulutnya; ketika khutbah Jumaat dibacakan; dan kepada orang yang sedang membaca Al-Quran.

    Sesungguhnya amalan memberi salam ini bukan saja ketika hendak berjumpa atau bersapa saja tapi ketika hendak masuk rumah sendirian atau ketika hendak masuk ke rumah orang lain juga dianjurkan untuk memberi salam.

    Selain itu, sekiranya tidak ada penghuni atau tidak ada seorang di dalam rumah, kita disuruh mengucap salam yang ertinya ‘Selamat sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh’.

    Khatib dalam khutbahnya juga mengingatkan, jika menyebut nama Allah SWT sebelum masuk ke rumah, rumah tersebut akan terhindar daripada syaitan.

    Dengan ucapan salam, rumah tangga akan diliputi keberkatan daripada Allah SWT dan diberi kecukupan dan terhindar daripada gangguan syaitan dan bila rumah mendapat berkat, penghuninya akan hidup dalam keadaan tenang, tenteram dan rukun damai.

    Khatib seterusnya menyeru kaum Muslim untuk menjalinkan hubungan silaturahim dengan mengamalkan memberi dan mengucap salam sebagai satu budaya dalam kehidupan seharian.

    “Semoga amalan ini menjadi pengukuh dan penguat kepada perpaduan dan kesejahteraan umat sejagat,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...