Jalinan hubungan agenda utama

Jalinan hubungan agenda utama

SINGAPURA, 4 Mei – Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Sistem Transit Rapid (RTS) merupakan antara agenda utama pada Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Singapura-Malaysia, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Husni Zai Yaacob.

Beliau berkata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja dua hari ke republik ini bermula Isnin bagi menghadiri Pemukiman Singapura-Malaysia bersama-sama Perdana Menteri SingapuraLee HsienLoong.

Najib akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan delegasi peringkat tinggi terdiri daripada beberapa menteri Kabinet Malaysia dan pegawai kanan kerajaan, katanya.

Husni Zai berkata turut tersenarai dalam agenda ialah semakan terhadap isu dibangkitkan dan dipersetujui pada pemukiman lepas di Putrajaya pada April 2014. “Kedua-dua belah pihak komited untuk menjayakan semua persetujuan dicapai pada permukiman sebelum ini. Pindaan dan perincian akan dibincangkan bagi memastikan perjanjian itu dimuktamadkan dengan jayanya.

“Satu daripada isu itu ialah menambah baik jalinan hubungan, terutamanya projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Sistem Transit Rapid (RTS).

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Husni Zai Yaacob ketika sidang media sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ke Singapura hari ini bagi menghadiri Pemukiman ke-6 Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura. – Bernama
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Husni Zai Yaacob ketika sidang media sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ke Singapura hari ini bagi menghadiri Pemukiman ke-6 Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura. – Bernama

Singapura dijangka mengumumkan perhentian terakhirnya pada pemukiman ini,” katanya pada sidang media untuk wartawan Malaysia di sini.

Husni Zai berkata: “Ini selaras dengan pengumuman Malaysia tahun lepas bahawa Bandar Malaysia akan menjadi perhentian terakhir bagi negarakita.

“Kami juga menjangkakan butiran lain mengenai HSR akan diumumkan oleh kedua-dua pihak. Isu lain berhubung jalinan hubungan adalah berhubung langkah-langkah untuk mengatasi kesesakan di Tambak dan Linkedua.

“Menerusi Bengkel Imigresen, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengurangkan kesesakan menerusi beberapa langkah,” katanya. Pesuruhjaya Tinggi itu berkata Malaysia juga mahu menerokai pilihan lain untuk mengurangkan kesesakan seperti pembinaan sebuah jambatan baharu untuk menghubungkan kedua-dua negara.

Husni Zai berkata pemimpin kedua-dua negara akan turut membincangkan pentingnya meningkatkan kerjasama ekonomi, terutamanya oleh Kumpulan Kerja Kerjasama Industri (ICWG) di bawah Jawatankuasa Bersama Peringkat Kementerian mengenai Iskandar Malaysia.

Katanya ICWG dijangka terus memainkan peranan mengukuhkan ekosistem Malaysia-Singapura menerusi pelaburan sinergi dan hubungan usaha sama antara kedua-dua negara.

Husni Zai berkata kedua-dua pihak juga akan menyentuh tentang ASEAN, khususnya Malaysia selaku pengerusi ASEAN, Komuniti ASEAN 2015 dan ASEAN pasca 2015.

Isu lain yang dijangka turut dibincangkan, katanya adalah berhubung kerjasama keselamatan.

Beliau menjelaskan Menteri Pertahanan kedua-dua negara pada mesyuarat merekabulan lepas telah mencapai persetujuan untuk mengalakkan lebih banyak pertukaran ketenteraan antara kedua-dua pihak bagi menangani isu keselamatan bersama.

“Kami berharap untuk menyaksikan pemeteraian MoU antara Majlis Keselamatan Negara Malaysia dan Angkatan Pertahanan Sivil Singapura mengenai Kerjasama Pembangunan Keupayaan Dalam Pencarian dan Penyelamatan Urban (USAR),”katanya dan menurutnya MoU itu bertujuan meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua agensi dari segi latihan, teknik dan perkongsian maklumat berkaitan USAR dan pengurusan bencana.

Husni Zai juga berkata kedua-dua pihak juga akan membincangkan kaedah dan pentingnya meningkatkan hubungan sosial dan kebudayaan antara rakyat keduadua negara.

“Langkah seperti pertukaran lukisan antara Balai Seni Lukis Negara dan Galeri Nasional Singapura, pertukaran haiwan antara Zoo Negara Malaysia dan Zoo Singapura serta program kebudayaan Titian Budaya Malaysia-Singapura, sudah dilaksanakan untuk mengeratkan hubungan antara rakyat”.

Berhubung hubungan dua hala antara kedua-dua negara berjiran, Husni Zai berkata, hubungan Malaysia-Singapura amat istimewa dan membina.

“Ketika kita menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2015, hubungan dengan Singapura sentiasa baik. Hubungan semakin erat dan kedua-dua negara komited untuk memanfaatkan hubungan baik itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA