Jalinan hubungan diperkukuhkan melalui pendidikan

Jalinan hubungan diperkukuhkan melalui pendidikan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Dean Kassim

BANDAR SERI BEGAWAN,  27 April – Pendidikan merupakan bidang utama yang terus memainkan peranan dalam merapatkan hubungan United Kingdom (UK) dengan Negara Brunei Darussalam.

Ini kerana, ratusan pelajar dari negara ini kini sedang menuntut di pusat pengajian tinggi di UK sementara Negara Brunei Darussalam menerima para guru, pakar pendidikan dan golongan profesional lain dari UK yang sama-sama menyumbang ke arah kemajuan sistem pendidikan di negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama David Campbell ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Resepsi Sambutan Hari Ulang Tahun Ratu Elizabeth II ke-90 Tahun yang diadakan serentak dengan sambutan ulang tahun memperingati 400 tahun kematian penyajak terkenal Britain, William Shakespeare, yang berlangsung di Teater The Empire Hotel & Country Club, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan isteri, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan isteri bersama Tuan Yang Terutama David Campbell ketika memotong kek pada majlis tersebut.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan isteri bersama Tuan Yang Terutama David Campbell ketika memotong kek pada majlis tersebut.

TYT Campbell berkata, jalinan hubungan bidang pendidikan itu dikukuhkan lagi dengan tawaran Biasiswa Chavening oleh kerajaan UK yang mana pada musim luruh lalu Alumni Chavening Negara Brunei Darussalam telah menganjurkan siri ceramah awam dan perbincangan yang disasarkan kepada para remaja tempatan.

Pada ucapannya, beliau juga memuji langkah kerajaan negara ini menangani krisis ekonomi yang mencabar dengan mempromosi khidmat kemudahan menjalankan perniagaan.

Serentak dengan itu juga, Perdana Menteri Britain telah melantik ahli Parlimen Mark Garnier sebagai utusan perdagangan ke Brunei Darussalam, dan akan mengadakan lawatan ke negara ini sedikit masa lagi.

Bersempena ulang tahun memperingati kematian William Shakespeare, TYT Campbell juga menyentuh mengenai tokoh itu yang terus menjadi sumber inspirasi bagi masyarakat negara ini dari aspek kebudayaan, pendidikan dan kemasyarakatan.

Pada resepsi itu, pada hadirin yang terdiri daripada diplomat asing di Negara Brunei Darussalam, pegawai kanan kerajaan serta komuniti perniagaan di negara ini dihidangkan dengan sedutan karya persembahan William Shakespeare oleh tiga orang pelajar dari Sekolah Antarabangsa Jerudong.

Kemuncak majlis ialah upacara memotong kek oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Datin serta Tuan Yang terutama David Campbell.

Turut diadakan di ruang legar teater ialah pameran gambar Ratu Elizabeth II  bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pameran poster William Shakespeare yang menonjolkan wajah-wajah remaja tempatan serta pameran kereta mini klasik.

ARTIKEL YANG SAMA