Jalinan MIDA & KEI pacu pelaburan berkualiti

Jalinan MIDA & KEI pacu pelaburan berkualiti

TOKYO, 27 Nov (Bernama) – Jalinan usaha sama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Ekonomi Antarabangsa Kyushu (KEI) dapat menggalakkan hubungan perdagangan dan pelaburan berkualiti dari wilayah Kyushu, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata komuniti perdagangan Malaysia dan Jepun akan mendapat manfaat daripada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi hubungan dua hala di antara MIDA dan KEI baru-baru ini.

“Dengan komitmen yang tinggi daripada kedua-dua kerajaan dan komuniti perniagaan, saya yakin kerjasama ini akan mengukuhkan hubungan dua hala di antara negara kita dan mendorong pelaburan berkualiti bagi tahun akan datang,” kata Mustapa dalam ucap utamanya pada majlis menandatangani MoU antara MIDA dan KEI pada 25 Nov di Osaka.

KEI ialah sebuah organisasi mewakili organisasi Jepun terdiri dari bank, badan kerajaan dan sektor swasta, menyasarkan untuk menggalakkan dan memudahkan industri, pelancongan dan pertukaran di antara wilayah Kyushu, Jepun dan pihak asing.

Beliau menekankan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun berkembang dalam pelbagai aspek bukan sahaja antara kedua-dua kerajaan malahan sektor swasta sejak 50 tahun yang lalu.

“Syarikat-syarikat Jepun memainkan peranan penting dalam komuniti perdagangan Malaysia dengan kebanyakan menubuhkan kemudahan pengeluaran dan ibu pejabat serantau di negara kita,” kata Mustapa.

Bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan serantau, beliau berkata, Malaysia akan terus menekankan usaha sama kukuh dan berkesan di antara sektor awam dan swasta.

MIDA, kata Mustapa, juga bekerjasama dengan sebuah lagi organisasi dari Jepun sejak 1995 iaitu Kyukeiren. Kyukeiran ialah sebuah organisasi serantau menyepadukan ekonomi dengan keanggotaan kira-kira 970 syarikat berpejabat di Kyushu dan Yamaguchi.

ARTIKEL YANG SAMA