Jam ‘bff’ Farid

BAGI segelintir individu, seutas jam tangan sudah memadai namun tidak bagi Muhamad Farid Che Yunus, 29, yang menganggapnya sebagai pelaburan berharga untuk masa depan. Malah kerana obses, Muhamad Farid cenderung mengumpul aksesori berkenaan dan menjualnya kepada yang berminat.

Bercerita lanjut, Muhamad Farid berkata, sejak kecil dia meminati jam tangan namun hanya mula serius mengumpulnya sejak 10 tahun lalu.

“Dulu, arwah ayah selalu membawa ke kedai jam tangan dan dari situ, saya berpeluang melihat pelbagai jenis jam termasuk daripada koleksi vintaj.

“Lama-kelamaan, timbul keinginan untuk memilikinya dan itu yang mendorong saya mengumpul wang untuk membeli jam tangan dari Russia berharga RM200.

“Sejak itu, saya semakin obses untuk menambah koleksi malah turut menjualnya untuk mendapatkan wang bagi membeli yang lain,” katanya yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik.

Koleksi pelbagai jenis jam termasuk daripada koleksi Vintaj.
Muhammad Farid.
Teliti memperbaiki jam tangan.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, selain jam tangan yang menggunakan bateri, dia turut menggemari jenis berenjin. Katanya, rekaan jam tangan itu agak istimewa dan menarik minatnya untuk mempelajari lebih lagi lagi mengenai bidang harologi.

“Di negara luar, pekerjaan sebagai pembuat jam setanding kerjaya profesional lain, malah gaji diperoleh juga ada kalanya lebih besar.

“Namun keadaan itu tidak berlaku di negara ini. Sebab itu, saya tidak boleh mengharapkan pendapatan daripada menjual jam semata-mata tetapi turut menawarkan khidmat membaiki jam tangan yang yang rosak.

“Jika diikutkan, saya tiada asas langsung untuk membaiki jam tangan namun belajar kemahiran itu daripada orang lama dan rujukan di Internet,” katanya.

Muhamad Farid berkata, selain membaiki jam, dia turut menghasilkan tali jam tangan dan menjualnya kepada yang berminat. Menurut Farid, ia dilakukan selepas melihat keadaan ekonomi masa kini yang tidak begitu memberangsangkan.

“Saya pernah membuka kedai jam tangan sebelum ini tetapi terpaksa menutupnya kerana tidak mahu terus rugi memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Jadi untuk sementara waktu, saya mengambil upah membaiki jam dan menjual talinya untuk memperoleh pendapatan.

“Jika ada platform dan kelapangan pula, saya akan menyertai acara seperti pameran di pusat beli-belah dan di tempat lain sebagai inisiatif bagi mempromosikan perniagaan,” katanya yang turut menjual cermin mata dan aksesori vintaj lain. – Agensi