Jam tangan mewah: Menteri Thai mohon maaf

BANGKOK, 13 Feb – Menteri Pendidikan Thai terpaksa memohon maaf selepas beliau didapati membuat kritikan keras berhubung isu jam tangan mewah membabitkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Jen Prawit Wongsuwan.

Teerakiat Jareonsettasin, yang mengeluarkan kenyataan penuh kontroversi dalam wawancara dengan BBC Thai semasa di London baru-baru ini, berkata beliau memohon maaf kepada timbalan perdana menteri, namun pada masa sama, memutuskan untuk terus memegang jawatan, di sebalik spekulasi awal bahawa beliau akan meletak jawatannya dalam Kabinet.

“Saya mengaku membuat komen itu (tentang Jen Prawit), saya rasa agak kurang sopan apabila saya menyebutkan (komen itu) tentang seorang rakan setugas dalam Kabinet atau timbalan perdana menteri. Jadi, saya telah minta maaf kepada beliau,” katanya kepada anggota media yang menunggu di Rumah Kerajaan hari ini.

Terdahulu, beliau bertemu Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha dan Prawit.

Timbalan perdana menteri menerima desakan bertalu-talu daripada orang ramai yang mahu supaya beliau segera meletak jawatan selepas dilihat memakai beberapa utas jam tangan mewah ketika menghadiri beberapa majlis rasmi.

Prawit berikrar untuk melepaskan jawatannya jika siasatan yang dijalankan Suruhanjaya AntiRasuah Negara (NACC) berhubung jam mewah dalam pemilikannya itu, mendapati beliau bersalah. – Bernama