Jamaica mahu lakar sejarah

Jamaica mahu lakar sejarah

PHILADELPHIA,
AS, 26 Julai (AFP) – Jamaica sudahpun memahat sejarah tersendiri apabila melangkah ke perlawanan akhir Piala Emas CONCACAF buat kali pertama, namun skuad Reggae Boyz nyata belum puas dan mereka mahu melakar satu lagi sejarah iaitu merangkul kejuaraan buat kali pertama apabila berdepan Mexico, esok.

Jamaica menjadi pasukan pertama dari kepulauan Caribbean layak ke final selepas mengejutkan penyandang juara dan pilihan pertama, Amerika Syarikat 2-1 dalam separuh akhir, Khamis lalu.

“Kami baru menyingkirkan pasukan terkuat dalam kejohanan ini, jadi itu membuktikan kami mampu berdepan sesiapa saja.

“Keyakinan kami memasuki perlawanan akhir sangat tinggi, kami tidak gentar berdepan mana-mana pasukan,” kata penyerang Jamaica, Giles Barnes.

Pada ketika Jamaica mempamerkan aksi cemerlang dalam laluan ke perlawanan akhir, Mexico pula diselubungi kontroversi sejak saingan suku akhir.

Darren Mattocks (11) dari Jamaica berjaya menanduk bola ketika disaingi Clint Dempsey (8) dan Brad Evans (16) dari AS semasa aksi separuh akhir Piala Emas di Georgia Dome 22 Julai lalu. – AFP
Darren Mattocks (11) dari Jamaica berjaya menanduk bola ketika disaingi Clint Dempsey (8) dan Brad Evans (16) dari AS semasa aksi separuh akhir Piala Emas di Georgia Dome 22 Julai lalu. – AFP

Mereka memerlukan bantuan sepakan penalti kontroversi ketika menumpaskan Costa Rica di suku akhir, sebelum dihadiahkan dua penalti kontroversi ketika mengalahkan Panama pada separuh akhir.

Mutu pengadilan buruk membayangi perlawanan melibatkan Mexico, justeru mereka perlu mengalahkan Jamaica tanpa bantuan ‘nasib’.

“Mutu pengadilan sangat teruk dan mencemari kejohanan ini,” kata jurulatih Panama, Hernan Dario Gomez.

Jurulatih Mexico, Miguel Herrera tidak menafikan, mutu pengadilan dalam Piala Emas kali ini sangat buruk, namun tiada apa yang boleh dilakukannya tentang perkara itu. “Mutu pengadilan sangat teruk namun ianya telah berlaku. Adakalanya kontroversi timbul dan ia diluar kuasa kami,” kata Herrera.

Skuad El Tricolores menjadi pasukan pilihan dalam perlawanan akhir dan turun untuk memburu kejuaraan ketujuh.

“Mexico antara pasukan terkuat di benua kami. Mereka memiliki corak permainan yang hebat. Namun, kami akan memberi tentangan sengit dan membuktikan kami mampu menjaringkan gol,” kata jurulatih Jamaica, Winfried Schaefer. Herrera pula percaya, kejayaan Jamaica menyingkirkan Amerika Syarikat membuktikan mereka bukan lawan yang mudah. “Jamaica bermain baik ketika berdepan Amerika Syarikat. Mereka menguasai permainan dan bermain dengan sangat pantas.

“Kami kena sentiasa bersedia dan berjaga-jaga, tiada apa yang mudah dalam perlawanan akhir,” ujar Herrera.

Pencapaian terbaik Jamaica dalam Piala Emas adalah menduduki tangga ketiga pada 1993, dan skuad Reggae Boyz tidak sabar untuk memahat sejarah baharu dalam bola sepak negara itu. Perlawanan akhir esok akan diadakan di Philadelphia.

ARTIKEL YANG SAMA