Jambatan Batang Sadong kini dibuka

Jambatan Batang Sadong kini dibuka

ASAJAYA, 17 Okt – Jambatan Batang Sadong dibuka kepada umum mulai semalam sempena tinjauan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf.

Beliau berkata projek dengan kos RM211.3 juta itu sudah lama siap tetapi pembukaannya dilewatkan kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mahu memastikan ia selamat sepenuhnya untuk kegunaan umum.

“Audit teknikal telah mengesahkan bahawa jambatan ini selamat dan boleh dibuka kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata jambatan itu lewat dibuka kerana dari segi perundangan, ia perlu terlebih dahulu diwartakan sebelum boleh dibuka kepada orang ramai.

“Oleh itu, ia mengambil masa dibuka walaupun sudah siap lebih awal,” katanya.

Fadillah juga mengucapkan terima kasih kepada JKR Sarawak kerana memantau projek berkenaan sehingga ia siap mengikut jadual ditetapkan.

“Pihak kontraktor dapat menyiapkan dalam tempoh atau lebih awal daripada masa yang ditetapkan setelah tempoh tambahan diberi,” katanya.

Menurutnya jambatan itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem kerana ia merupakan ‘aku janji’ mereka yang mendapat sokongan ketua menteri dan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin masyarakat setempat.

Mengulas mengenai pembukaan jambatan baru itu, Datuk Seri Mohd Najib berkata, ia merupakan satu daripada banyak lagi pembangunan yang akan terus dilakukan kerajaan di Sarawak bagi rakyat negeri itu. Jambatan tersebut memberi manfaat kepada lebih 50,000 penduduk tempatan.

Najib yang melahirkan kegembiraannya dengan siapnya jambatan tersebut turut memuat naik gambar yang diambilnya sewaktu meninjau projek tersebut pada 31 Jan lepas. – Bernama